Thursday, August 22, 2013

Dollah kritik tindakan Surendran

Sumber: Harian Metro

Kuantan: Pengendali Pahang Dollah Salleh kesal dengan tindakan R Surendran yang disifatkan tidak profesional dan hampir menyebabkan skuad itu tewas ketika menentang Kelantan yang berkesudahan seri 1-1 malam kelmarin.

Dollah berkata, Pahang mampu meraih kemenangan jika pemain berkenaan dapat mengawal emosi ketika lawan beraksi dengan 10 pemain.


Menurutnya, dengan layangan kad merah itu, dia berharap Surendran mendapat pengajaran berguna supaya lebih berhati-hati kerana tindakannya itu boleh menjejaskan pasukan.

“Namun, kami tetap berbangga kerana dapat mengikat juara bertahan itu,” katanya semalam.



Surendran dilayangkan kad merah apabila mengasari Mohd Daudsu Jamaluddin. Sebelum itu, penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Saarani turut dibuang padang kerana mengasari Hafiz Kamal.


Mengulas keputusan seri kelmarin, Dollah tetap memuji pemainnya yang tidak mengenal erti putus asa untuk memastikan Kelantan pulang hampa daripada meraih kemenangan.

Menurutnya, semangat juang tinggi dipersembahkan pemain menjadi faktor utama kerana Kelantan bukan calang-calang pasukan selain menjadi pilihan utama selain juara bertahan.


“Saya boleh katakan kami tidak beraksi 100 peratus termasuk jentera serangan kurang tajam membolosi gawang lawan.

“Kita perlu pertingkatkan persembahan apabila menentang Negeri Sembilan selepas ini jika mahu melangkah lebih jauh kerana saingan Piala Malaysia berbeza dan sukar dijangka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...