Friday, August 2, 2013

Alasan tutup aib

Sepang: Keletihan berpuasa menjadi alasan ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal selepas skuad bimbingannya mencatat keputusan buruk pada tiga siri perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab dari Liga J di Jepun.

Alasan yang pasti tidak dapat terima peminat setia skuad negara itu umpama mahu menutup malu kekalahan memalukan skuad negara menentang tiga kelab berbeza sebelum ini.


Skuad negara tewas 0-2 kepada kelab Divisyen Satu Shimizu S Pulse dan paling aib tewas besar 0-5 masing-masing kepada kelab di zon penyingkiran Liga J, Shonan Bellmare dan kelab Divisyen Dua, Tokyo Verdy

“Pengajaran yang saya dapat di sini, kita tidak harus bermain dengan kelab yang boleh dikatakan mempunyai tahap permainan tinggi ketika bulan puasa. Kalau kita datang ke Jepun pada masa akan datang, mungkin bukan ketika Ramadan.

“Kita perlu sedar pada perlawanan kedua, kita main jam 11 pagi dan perlawanan ketiga, 3 petang. Kita main tiga babak dan keletihan itu datang pada babak kedua dan ketiga.

“Apapun, saya tetap hormat pemain sebab mereka berusaha memberikan yang terbaik ketika berpuasa dan ada ketikanya kita mampu beri tekanan kepada pihak lawan. Saya rasa ini persiapan yang bagus untuk perlawanan menentang Barcelona,” katanya selepas tiba dari Jepun semalam.

Ditanya mengenai desakan demi desakan supaya beliau segera mengundur diri berikutan prestasi buruk berterusan skuad negara, Rajagobal berkata: “Saya tidak tahu kenapa ada pihak yang suka sangat saya undur diri.

“Tapi saya bukan penakut. Saya akan pikul tugas saya hingga kontrak berakhir 31 Disember. Selepas itu barulah majikan buat keputusan dan saya juga akan buat keputusan.” Rajagobal turut membidas kritikan yang dilemparkan kepadanya sebelum ini yang memintanya melepaskan jawatan.

“Ini bulan Ramadan, jangan buat dosa. Kalau kita nak kritik, biarlah tepat dan konkrit.

“Kalau mereka datang ke Jepun dan tengok prestasi sebenar pemain dalam bulan Ramadan, itu tak apa. Tapi, mereka tidak ada di situ, mereka hanya memberikan komen berdasarkan keputusan perlawanan, itu tidak adil. Kritikan mereka sepatutnya berdasarkan fakta, itu sajalah yang saya nak beri nasihat.

“Sebelum ini pun ramai yang kritik, ramai yang ganggu tapi saya tak akan lari daripada fokus saya,” katanya.

Tiga siri perlawanan persahabatan di Jepun itu dianggap sebagai persiapan skuad negara menjelang kunjungan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona ke Malaysia, 10 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...