Annuar Musa (kanan) beramah mesra bersama kapten pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzhi (tengah) dan pemain import, Dickson Nwakaeme pada majlis iftar bersama skuad The Red Warriors dan media di Kota Bharu, semalam. |
Sumber: Utusan Malaysia
KOTA BHARU - Skuad The Red Warriors menerima 'duit raya' apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengagihkan bonus berjumlah RM600,000 berikutan kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala FA buat kali kedua berturut-turut di samping mengesahkan tempat beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim hadapan.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemberian bonus tersebut sebagai penghargaan kepada barisan pemain Kelantan yang telah bertungkus-lumus menaikan nama pasukan dengan mengekalkan kejuaraan tersebut sekali lagi musim ini.
Beliau berkata, jumlah tersebut adalah yang tertinggi setakat ini pernah diberikan oleh KAFA kepada barisan pemain The Red Warriors selepas menolak segala perbelanjaan pengurusan untuk perlawanan akhir Piala FA, baru-baru ini.
Menurutnya, agihan bonus tersebut diberikan kepada semua pemain Kelantan sama ada yang beraksi di pentas akhir atau sebaliknya
"Seramai 14 pemain yang beraksi dalam pentas akhir Piala FA, baru-baru ini menerima agihan bonus berjumlah RM30,000 setiap seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM420,000.
"Manakala baki selebihnya dari bonus tersebut diberikan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh pihak KAFA. Ini merupakan agihan bonus tunai terbesar yang pernah dibuat oleh KAFA setakat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama pemain The Red Warriors dan pengamal media Kelantan di sini semalam.
Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden KAFA, Datuk Affandi Hamzah; Naib Presiden Datuk Ismail Mohd. Nor dan Setiausaha Agung, Azman Ibrahim.
Annuar turut melahirkan rasa lega, agihan bonus tersebut dapat dilunaskan sebelum sambutan Aidilfitri seterusnya membolehkan barisan pemain membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran tersebut yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
"Saya berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana dapat melunaskan pembayaran dan membolehkan KAFA mengagihkannya sebelum sambutan Aidilfitri," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Annuar mengingatkan barisan pemain Kelantan supaya berjimat cermat dan tidak boros dengan bonus tersebut bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi masa depan mereka.
No comments:
Post a Comment