Sumber: Harian Metro
Kangar: “Kami harap pengurusan Singa Utara dan kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bersimpati dengan masalah dihadapi.
“Kalau boleh kami mahu semua baki tunggakan gaji Mei, Jun dan Julai diselesaikan secepat mungkin atau selewat-lewatnya akhir bulan ini,” kata seorang pemain pasukan Singa Utara.
Pemain yang enggan mendedahkan namanya berkata, bayaran separuh gaji Mei yang diterima pemain dan pegawai beberapa hari sebelum menjelang Aidilfitri dianggarkan berjumlah hampir RM100,000.
Berikutan itu, pegawai dan pemain skuad Singa Utara masih mempunyai baki tunggakan gaji separuh lagi bagi Mei selain Jun dan Julai yang perlu diselesaikan PFA dianggarkan berjumlah lebih RM100,000.
“Biarpun sudah menerima sebahagian gaji Mei, kami belum mampu menarik nafas ‘lega’,” katanya.
Berikutan kegagalan PFA melunaskan bayaran gaji tertunggak itu, semua yang terbabit tidak mampu membuat persiapan menyambut hari lebaran itu.
Menurutnya, bayaran separuh gaji yang diterima hanya mampu bertahan beberapa hari saja.
“Kami sedih dan mengharapkan kepimpinan baru PFA bersimpati dengan kesulitan dihadapi dan mengambil tindakan segera menyelesaikannya,” katanya.
Berikutan masalah itu, hampir 90 peratus pemain dikatakan sudah tawar hati dan mencari pasukan baru untuk meneruskan kerjaya bola sepak masing-masing.
No comments:
Post a Comment