Wednesday, August 7, 2013

Hanya Radojko hantar borang ke FAM

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Hanya Radojko Avramovic dan seorang jurulatih dari Brazil pernah menghantar permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), demikian kata bekas Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad.

Selain daripada itu, beliau tidak pasti jika ada permohonan baru telah dihantar kepada Setiausaha Agung yang baru, Datuk Hamidin Mohd. Amin, selepas dia meninggalkan badan induk bola sepak negara itu pada penghujung Jun tahun lalu.

Jelasnya, ura-ura yang memperkatakan Radojko berminat untuk mengendalikan Harimau Malaya memang tepat, namun segalanya kini terserah kepada FAM dan tidak ada niat untuk campur tangan.



"Seingat saya hanya dua orang sahaja menghantar permohonan mereka kepada saya iaitu bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic dan seorang jurulatih dari Brazil, semasa menjadi Setiausaha Agung FAM.

"Selain daripada mereka berdua, seingat saya tidak ada lagi yang lain termasuk Alex Miller yang dikatakan telah hantar permohonan kepada saya dan saya rasa perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana sampai masa nanti pasti lebih ramai akan memohon," katanya ketika dihubungi, semalam.

Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan kesahihan daripada Hamidin juga menemui jalan buntu apabila beliau menafikan ada menerima permohonan daripada Miller.

"Tidak ada setakat ini, kami belum terima apa-apa permohonan rasmi daripada Miller setakat ini dan sedia menerima jika beliau betul-betul berminat," ujar ringkas Hamidin ketika dihubungi.

Apa yang diperjelaskan oleh Azzuddin dan Hamidin pasti menimbulkan sedikit kekeliruan kerana berdasarkan sumber yang bekerja rapat dengan ejen kepada Miller, jurulatih yang berasal dari Scotland itu mengesahkan telah menghantar permohonan secara rasmi kepada FAM.

Selain pernah bekerja sama dengan Gerard Houllier dan Rafael Benitez selama sembilan tahun, jurulatih berumur 64 tahun itu pernah menjadi penolong pengurus pasukan kebangsaan Scotland dari tahun 1993-1999) dan menguruskan tiga kelab Scotland, Hibernian, Aberdeen dan St. Mirren.

Pada 8 April lalu, Utusan Malaysia berjaya mendapatkan maklumat Radojko atau lebih dikenali sebagai Raddy berminat menjadi jurulatih Harimau Malaya dengan menghantar permohonan ke FAM pada 2 April.

Punca utama Raddy yang dilabel sebagai jurulatih paling berjaya dalam sejarah bola Singapura itu masih berminat untuk bertugas di Asia Tenggara adalah kerana dia masih mempunyai anak yang bertugas di Singapura dan selesa tinggal di sini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...