Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Mungkin sesuatu yang menggemparkan akan berlaku pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini apabila Timbalan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi bayangan ada keputusan penting bakal diumumkan berikutan aksi hambar skuad kebangsaan ketika ini.
Badan induk bola sepak tanah air perlu tampil dengan pendirian lebih jelas berhubung prestasi semasa Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal selepas sekadar meraih dua kemenangan sepanjang 13 perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Asia 2015 sejak 1 Februari lalu.
Kemampuan Rajagobal menjadi topik utama ketika ini dan ia semakin hangat dengan kekalahan memalukan skuad kebangsaan dalam dua aksi persahabatan dengan kelab liga utama Jepun, Shimizu S Pulse 0-2, Shonan Bellmare (0-5) dan kelab divisyen dua Tokyo Verdy (0-5).
Berhubung kekalahan terbaru itu, Tengku Abdullah ketika ditanya pemberita semalam berkata: “Saya tak mahu komen. Tunggu saja kejutan esok (hari ini).” Kenyataan Tengku Abdullah itu menjadikan pertemuan pegawai tertinggi hari ini yang turut membabitkan Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa cukup penting kerana ia mungkin bakal menentukan nasib Rajagobal yang mempunyai kontrak sehingga hujung tahun ini.
Sebelum ini FAM seakan-akan berlembut untuk terus memberikan peluang kepada Rajagobal yang membantu skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Piala AFF 2010 bagi menghabiskan baki pusingan kelayakan Piala Asia 2015 sebelum sebarang keputusan diambil.
Tapi mungkin dengan kekalahan demi kekalahan yang dicatatkan serta pendekatan kemenangan pada aksi persahabatan dan ranking yang dianggap tidak penting bagi pengendali negara itu menyebabkan FAM mula hilang sabar.
Kerana keputusan buruk serta kerap mengadakan perlawanan dengan pasukan berstatus kelab, kedudukan Malaysia di ranking dunia tidak banyak berubah dan kini menduduki tangga ke-159 dunia.
Selepas pulang ke tanah air hari ini Harimau Malaya akan meneruskan latihan sebagai persediaan berdepan juara La Liga Sepanyol, Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos ini yang dianggap medan ujian sebelum menentang Bahrain pada aksi kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 pada Oktober nanti.
No comments:
Post a Comment