Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal tiba-tiba membuat ‘Pusingan U’ dengan membenarkan dua pemain muda, Nik Shahrul Azim Abd Halim dari Kelantan dan Junior Eldstal (Sarawak) menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) bagi menghadapi Pestabola Merdeka bulan depan.
Keputusan itu dibuat selepas pengendali skuad kebangsaan itu bertemu Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam.
“Rajagobal ada menemui saya dan berbincang mengenai perkara ini dan beliau menyatakan kesediaan untuk melepaskan Nik Shahrul Azim dan Junior Eldstal menyertai skuad B-23 negara.
“FAM menerima baik keputusan Rajagobal ini dan diharap kehadiran dua pemain ini akan memperkuatkan lagi pasukan kendalian Ong Kim Swee.
“Rajagobal berkata, beliau masih mempunyai pemain lain dalam senarai menunggu untuk dipanggil,” kata Hamidin.
Sebelum ini Rajagobal bertegas tidak melepaskan pemain pertahanan, Nik Shahrul dan pemain tengah, Junior menyertai skuad B-23 atas alasan ketiadaan pemain pertahanan bagi aksi persahabatan berstatus A dengan China pada 10 September ini yang bertembung dengan Pestabola Merdeka dari 7-14 September di Kuantan, Pahang.
Sebaliknya jurulatih Harimau Malaya itu hanya membenarkan Kim Swee memanggil semula Mohd Fadhli Shas dari Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor (Ryukyu FC), K Reuben (Tentera), Mohamad Nazmi Faiz Mansor (PKNS) dan Mohd Zubir Azmi bersama skuadnya.
Tindakan itu dikritik sesetengah pihak termasuk bekas pemain kebangsaan Khalid Ali yang menganggap ia tidak wajar memandangkan skuad B-23 harus diberi keutamaan kerana dua pemain itu tidak pernah bersama Kim Swee sebelum ini untuk diuji sebelum ke Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.
Malah Nik Shahrul dan Junior sudah bersama skuad kebangsaan dalam siri jelajah di Jepun dan perlawanan menentang Barcelona, baru-baru ini dan Rajagobal juga mempunyai lebih banyak pilihan berbanding skuad B-23.
Kim Swee tidak bersama dalam perbincangan itu kerana berada di Melaka namun beliau mengaku keputusan itu sudah dimaklumkan kepadanya oleh Hamidin.
“Bagi saya ini satu keputusan yang baik kerana saya dapat mengumpul semua pemain bagi Pestabola Merdeka. Ini peluang untuk saya menilai kemampuan Nik Shahrul dan Junior yang menyertai pasukan ini buat kali pertama,” katanya yang berdepan krisis pemain pertahanan tengah apabila hanya memiliki dua pemain, Fadhli dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris sebelum ini.
Sementara itu Kim Swee turut mengumumkan pasukannya berdepan skuad kebangsaan Bangladesh pada aksi persahabatan di Kuantan, 22 Ogos ini yang dianggap medan pemanas badan sebelum beraksi di Pestabola Merdeka.
No comments:
Post a Comment