Sumber: Harian Metro
Ipoh: Jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah puas hati dengan kemampuan anak buahnya selepas menguji mereka dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan persahabatan di Ipoh, Sabtu lalu.
Kelegaan terbesar Azraai apabila pemain mudanya memberi persembahan meyakinkan ketika bergandingan dengan senior.
“Saya menurunkan dua set pemain iaitu gandingan pemain muda dengan senior pada babak pertama dan barisan kemungkinan pada babak kedua.
“Permainan bergerak lancar dan berjaya menguasai keseluruhan perlawanan,” katanya.
Menurut Azraai, biarpun perlawanan itu berkesudahan 1-1, beliau tidak kisah sangat dengan keputusan itu kerana yang penting dapat menilai kemampuan pemain.
“Keputusan tidak penting kerana perlawanan ini sekadar medan menguji keupayaan pemain selepas berlatih beberapa minggu.” Jurulatih itu juga puas hati dengan keupayaan jentera serangan Seladang yang dikemudi awang import, Paolo Rangel.
Walaupun hanya menyumbat satu gol melalui Rangel, jentera Perak berjaya mencipta ruang dan peluang untuk menjaringkan gol.
Azraai berkata, pemain akan bercuti untuk Aidilfitri mulai esok dan menyambung latihan selepas itu.
“Mereka akan menjalani satu lagi perlawanan ujian bertemu Sime Darby pada 12 Ogos ini. Ini ujian terakhir sebagai persiapan sebelum Piala Malaysia.”
No comments:
Post a Comment