Monday, August 12, 2013

Rekod tanpa kalah Sarawak cetus gerun

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Rekod tanpa kalah Sarawak yang menjuarai Liga Perdana musim ini pasti menghadirkan gerun buat pasukan elit Liga Super dalam perebutan kejuaraan Piala Malaysia yang akan bermula 20 Ogos ini.

Tanpa pemain bintang skuad kendalian Robert Alberts itu mencatat 18 kemenangan dan empat seri dalam 22 perlawanan liga untuk muncul juara liga taraf dua itu sekali gus bakal dinaikkan taraf ke Liga Super tahun depan.



Bagaimanapun misi Sarawak tahun ini belum berakhir apabila pengendali dari Belanda itu melaungkan amaran awal bahawa mereka mampu mencipta kejutan dalam kempen Piala Malaysia yang tidak pernah dimenangi sehingga kini sejak ia dipertandingkan pada 1921.

“Untuk memberikan tentangan, saya berharap pemain-pemain saya bebas daripada kecederaan dan penggantungan. Dengan dibantu sedikit tuah, saya yakin kami mampu mencipta kejutan. Apa yang penting kami perlu melepasi halangan peringkat kumpulan kerana selepas itu, saingan akan lebih terbuka,” kata Alberts.

Diundi dalam Kumpulan D Piala Malaysia, Sarawak bakal berdepan juara Liga Super dari Singapura LionsXII, Perak dan Kedah.

Berdasarkan undian itu, Alberts bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya mereka lebih berpeluang untuk merebut satu lagi slot berbanding Perak dan Kedah selepas LionsXII dijangka tidak berdepan masalah untuk mara melepasi halangan peringkat kumpulan.

“Kami tidak boleh membandingkan kekuatan kami dengan LionsXII kerana mereka juara Liga Super dan kami hanyalah juara Liga Perdana, pasti ada perbezaannya. Tapi saya percaya berbanding dua lagi pasukan (Perak dan Kedah), kami masih berpeluang untuk meraih satu lagi tiket ke pusingan seterusnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...