Friday, August 16, 2013

JDT miliki ramuan juara

Safee Sali dihalang pemain pasukan Perth Glory FC dalam aksi persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin kelmarin.


Sumber: Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim mempunyai segala keupayaan yang dilihat mampu membawa pasukan itu mengharungi apa jua cabaran sekali gus membawa pulang Piala Malaysia musim ini, kata jurulatih Perth Glory FC, Alistair Edwards.

Edwards yang juga bekas pemain import Johor bukan satu nama asing bagi peminat bola sepak negara terutama di negeri ini kerana dia merupakan antara tonggak yang membawa pasukan negeri ini mencipta sejarah muncul juara berganda tahun 1991.




Membantu Johor muncul juara Piala Malaysia dan Liga Super pada 1991, membawa Sarawak muncul juara Liga Super pada 1997, malah dia memenangi Kasut Emas dalam saingan Liga Super bersama Singapura pada 1990.

Dia kini yang membimbing Perth Glory FC yang bersaing dalam Liga A Australia menyaksikan sendiri kemampuan pasukan Johor Darul Takzim apabila kedua pasukan bertemu pada aksi persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelmarin.

"Mereka bermain dengan baik. Ramai bakat hebat dalam pasukan selain para pemainnya juga pantas, mempunyai semangat yang baik, pasukan yang mantap dan bagus membuat serangan balas. Mereka berkeupayaan menjulang Piala Malaysia.

"Johor Darul Takzim mesti menang kerana saya yakin ramai peminat termasuk saya sendiri mahu melihat Piala Malaysia dijulang di sini. Saya harap perlawanan persahabatan ini memberi pengalaman berharga dan tuah kepada mereka," katanya.

Pada perlawanan itu, Johor Darul Takzim tewas 0-2 dengan gol Perth Glory FC dijaringkan Steven McGarry menerusi penalti pada minit ke-34 dan gol kedua menerusi Ndumba Makeche pada minit ke-90.

Kelibat bekas pemain Benfica, Pablo Aimar yang dikhabarkan sepatutnya membuat penampilan bersama Johor Darul Takzim pada perlawanan itu tidak kelihatan, namun Cesar Ferrando Jiminez yang dikatakan bakal membimbing skuad itu musim depan dilihat hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Edwards yang kembali ke stadium keramat di Larkin selepas lebih 20 tahun melahirkan rasa kagum dengan suasana di situ dengan peminat skuad Harimau Selatan yang tidak berhenti menyanyi dan memberi sokongan kepada pasukan semasa mereka beraksi.

Sementara itu, jurulatih Johor Darul Takzim, Azmi Mohamed berpuas hati dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan tersebut sambil menyifatkan setiap pemain menunjukkan sikap positif dan sudah bersedia mengharungi cabaran Piala Malaysia.

"Pada masa sama, saya berharap pemain yang beraksi dalam skuad kebangsaan dapat menunjukkan standard yang tinggi untuk membantu rakan lain supaya kita dapat wujudkan sebuah pasukan yang mantap dengan kerjasama yang baik.

"Kami memang berhajat untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini. Jadi, kita akan memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan," katanya yang mula mengambil alih tugas jurulatih daripada Fandi Ahmad bulan lepas.

Azmi turut mengakui ketiadaan kapten pasukan, Kamarul Afiq Kamaruddin yang tidak dapat beraksi sepanjang saingan Piala Malaysia itu sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan, namun kekosongan itu boleh diisi dengan baik oleh Muslim Ahmad mahupun Ahmad Tarmimi Saiban.

Kempen Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos ini menyaksikan Johor Darul Takzim diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Felda United, PKNS dan T-Team.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...