Thursday, August 1, 2013

Azmi puas komitmen tinggi pemain

Sumber: Harian Metrro

Johor Bahru: Pengendali baru Johor Darul Takzim (DT), Azmi Mohamed puas hati komitmen pemain yang bersungguh-sungguh ketika menjalani latihan pertama kendaliannya di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kelmarin.

Azmi yang mengambil tugas daripada Fandi Ahmad yang kini memegang jawatan pengurus pasukan berkata, buat permulaan latihan ditumpukan terhadap tahap kecergasan pemain selain berusaha memastikan semua pemain bekerjasama sebagai satu pasukan.



“Saya lega apabila pemain memberi reaksi positif. Itu petanda baik kerana yang penting, kami bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan matlamat tercapai.

“Kecergasan pemain mustahak bagi memastikan mereka sentiasa cergas, malah saya tekankan kekuatan fizikal sebelum memulakan latihan taktikal.

“Tidak guna kalau kita mulakan latihan taktikal tapi pemain tidak memiliki tahap kecergasan memuaskan dan saya yakin dalam tempoh terdekat mereka akan cergas,” katanya.

Azmi juga menegaskan perancangan sudah dibuat apabila Johor DT akan menerima kunjungan pasukan kelab dari Liga Australia, Perth Glory untuk aksi persahabatan di Stadium Larkin pada 14 Ogos, ujian terakhir sebelum memulakan kempen Piala Malaysia, 20 Ogos ini.

Skuad Harimau Selatan tampak memiliki laluan mudah apabila diundi dalam Kumpulan B bersama FELDA United, T-Team serta PKNS FC untuk memburu juara kumpulan seterusnya slot ke suku akhir.


Sementara itu, Fandi turut berada di Stadium UTM menyaksikan latihan kendalian Azmi bersama Ismail Ibrahim, Mohd Hamzani Omar dan Khairul Azman Mohamed pada sesi latihan berlangsung hampir dua jam.

Namun bintang legenda Singapura itu enggan mengulas lanjut berhubung pelantikannya selaku pengurus sebaliknya hanya mengesahkan sudah menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung jawatan baru itu.

“Saya sudah terima surat dari PBNJ dan akan beri kerjasama penuh memandangkan ia amanah yang diberikan,” kata Fandi.

Difahamkan tugas Fandi itu hanya untuk tempoh saingan Piala Malaysia dan khidmatnya mungkin diperlukan sebagai Pengarah Pembangunan Bola Sepak Johor musim depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...