Monday, August 26, 2013

Red Giants belum panik

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Masih tiada kebimbangan buat jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim mengenai nasib pasukannya dalam kempen Piala Malaysia kali ini meskipun gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan awal selepas tumpas kepada 2-3 di tangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelmarin.

Kebangkitan yang diharapkan selepas hanya seri 0-0 pada perlawanan pertama Kumpulan A dengan Johor Selasa lalu tidak menjadi apabila skuad Red Giants itu terkulai di laman sendiri kepada ATM sekali gus menyaksikan mereka kini menghuni tangga tercorot kumpulan dengan satu mata.



Bagi Irfan masih terlalu awal untuknya menekan butang panik kerana beliau yakin baki empat kemenangan akan digunakan sepenuhnya anak buahnya mengutip mata maksimum.

“Kami melepaskan dua gol mudah dalam perlawanan dengan ATM dan saya berharap perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi. Saya tak khuatir kerana kami masih mempunyai empat lagi perlawanan. Saingan Piala Malaysia memang unik, kita tidak boleh menjangkakan sesuatu, jadi saya berharap kami akan bangkit selepas ini,” katanya yang kini diberikan tanggung jawab besar merealisasikan Misi 33 buat tahun ketiga.


Ketika juara 32 kali Selangor masih tercari-cari kemenangan pertama, ATM pula memastikan mereka kembali mengukuhkan status mereka sebagai pasukan pilihan hasil kemenangan ke atas Selangor di Stadium Shah Alam selepas tumpas kepada Sime Darby FC 0-2 pada perlawanan pembukaan awal minggu lalu.


Bagi jurulatih Sathianathan, kemenangan itu bukan sekadar mengutip tiga mata penuh sebaliknya ia menyuntik kembali keyakinan pemain selepas gagal melakar kemenangan dalam enam perlawanan terakhir musim ini.

“Ini kemenangan yang cukup penting selepas kami gagal menang lima perlawanan terakhir liga dan tewas kepada Sime Darby dalam perlawanan pertama Piala Malaysia. Saya dapat rasakan tahap keyakinan pemain semakin meningkat dan saya berharap mereka dapat mengekalkan prestasi ini untuk kami layak ke suku akhir,” katanya.


Apa yang melegakan Sathianathan apabila penyerang prolifik Marlon Alex James kembali beraksi kelmarin meskipun tidak cergas sepenuhnya akibat demam.

“Marlon menunjukkan semangat yang tinggi walaupun demam masih mampu beraksi dalam perlawanan semalam (kelmarin). Saya yakin dia boleh bermain dengan lebih baik apabila pulih sepenuhnya bagi aksi menentang Johor Selasa ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...