Wednesday, August 28, 2013

NS sekat Kelantan

Sumber: Harian Metro

Seremban: Kekalahan kepada Pahang, Sabtu lalu nyata memberi pengajaran berguna buat pemain Negeri Sembilan apabila mereka memberikan persembahan lebih bertenaga untuk menyekat penguasaan juara bertahan Kelantan dengan 1-1 dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Turun selaku pasukan ‘underdog’ Negeri Sembilan melakukan gerakan pantas ke kubu Kelantan pada minit pertama perlawanan namun sepakan S Sivanesan sedikit tersasar dan gerakan itu nyata mengejutkan skuad The Red Warriors yang membalas serangan menerusi penyerang import mereka, Dickson Nwakame.



Gerakan pantas menerusi ayam tambatan itu dalam tempoh 10 minit perlawanan awal jelas memberi tekanan kepada bahagian benteng tuan rumah, namun tiga percubaan Dickson dihalang penjaga gol Negeri Sembilan, Badrulzaman Halim.

Bagaimanapun, kekentalan Badrulzaman akhirnya lebur apabila sepakan deras Dickson dari dalam kotak penalti berjaya menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-40, selepas dia bijak memperdayakan benteng tuan rumah.


Begitupun, anak buah Ridzuan Abu Shah tidak berputus asa dan terus berusaha mendapatkan jaringan dan mereka mendapat sepakan penalti pada minit ke-45 selepas Wiliam Paul Modibo dijatuhkan dalam kotak penalti, bagaimanapun peluang itu gagal dimanfaatkan apabila sepakan Sivanesan, berjaya ditepis keluar penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.


Sebaik aksi bersambung, tuan rumah berusaha bangkit memperkemaskan jentera serangan dan berpeluang mendapatkan jaringan tetapi bola hantaran lintang Mohd Nazrin Nawi pada minit ke-55, gagal ditampan kemas Sivanesan. Bagaimanapun pemain itu menebus kekecewaan apabila melorongkan bola cantik untuk Fabio mudah menolak masuk menewaskan Khairul Fahmi bagi gol penyamaan pada minit ke-59.

Usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan menemui jalan buntu biarpun melakukan beberapa percubaan ke kubu masing-masing dengan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...