SUmber: Harian Metro
Kuantan: Kelicikan Mohd Nor Farhan Muhammad dan Dickson Nwakaeme menjadi tumpuan Pahang apabila mereka melayan kunjungan Kelantan yang juga juara bertahan Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, malam ini.
Bagi memastikan gawang skuad kendalian Dollah Salleh itu tidak dibolosi, kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar akan memastikan kelincahan dua penyerang itu disekat dengan sokongan padu rakan sepasukan.
Menurutnya, kembalinya Damion Stewart selain dua lagi rakan sepasukan, Mohd Razman Roslan dan Mohd Shahrizan Salleh diharap mampu memperkasakan bahagian pertahanan.
“Saya percaya latihan intensif sejak Ramadan lalu memberi motivasi terbaik untuk menyekat Kelantan daripada membawa pulang mata.
“Pada masa sama, kerjasama barisan tengah serta ketajaman jentera serangan akan membantu skuad Tok Gajah meraih tiga mata berharga,” katanya.
Mengenai persiapan menentang The Red Warriors, pertahanan Pahang itu berkata, segala-galanya sudah dilakukan untuk memastikan tiga mata menjadi milik mereka sebagai suntikan moral mengharungi kempen piala berprestij itu musim ini.
Menurutnya, semangat dan komitmen tinggi pemain sepanjang latihan akan memastikan segala yang dirancang jurulatih membuahkan hasil positif.
“Kami sedar Kelantan juga mahu menang aksi pertama, tapi kelebihan bermain di gelanggang sendiri tidak harus dipersia-siakan. Rakan sepasukan memang tidak sabar untuk beraksi biarpun bakal berdepan saingan getir,” katanya.
No comments:
Post a Comment