Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Kira-kira 500 penyokong setia Selangor berkumpul di depan Stadium Selayang sebagai tanda protes terhadap kekalahan 0-3 kepada Sime Darby dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia malam tadi.
Golongan penyokong berkenaan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pasukan gergasi Merah Kuning dengan ada yang menyanyikan ‘Selangor apa sudah jadi’ dan ‘Irfan Bakti apa kau dah buat’ serta mengerumuni bas skuad Selangor sebelum kenderaan itu meninggalkan stadium.
Tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan menceritakan betapa sukarnya langkah Selangor untuk sekurang-kurangnya melangkah ke suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.
“Ini kekalahan memalukan dalam karier saya sebagai jurulatih. Bagaimanapun saya memuji sikap pemain saya kerana sentiasa mencuba. Kami tewas kepada nombor 10 (Karlo Primorac). Kami gagal mengawalnya,” kata Irfan Bakti Abu Salim selepas perlawanan itu.
Keputusan itu menyebabkan Selangor hanya meraih satu mata selepas terikat tanpa jaringan ketika menentang Johor, disusuli kekalahan 2-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam dua aksi awal Kumpulan A. Sime Darby pula mengumpul enam mata.
Selangor jelas buntu dalam merencanakan serangan berbahaya ke kubu tuan rumah pada babak pertama apabila beberapa peluang hanya diperoleh menerusi rembatan jarak jauh yang mudah dipatahkan penjaga gol Sime Darby, Kamarul Effendi.
Lebih mengecewakan percaturan Irfan Bakti menurunkan tiga penyerang iaitu Francis Forkey Doe, Mohd Afiq Azmi dan Mohd Amri Yahyah untuk memburu gol tidak membuahkan hasil diharapkan.
Penyerang import Sime Darby, Primorac sebaliknya mencuri tumpuan pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 3,000 penyokong itu apabila rembatan kencangnya di luar kotak penalti menggegar gawang Norazlan Razali.
Pemain import dari Croatia itu melepaskan rembatan pada jarak 35 meter pada minit ke-21 untuk menggegar gawang disusuli gol keduanya pada minit ke-29 menerusi tandukan.
Skrip sama berulang pada babak kedua apabila tuan rumah kendalian Ismail Zakaria terpaksa menahan asakan berterusan Merah Kuning namun pelawat tetap buntu mencari gol penyamaan.
Tuan rumah terus menghukum pelawat apabila Mohd Fazrul Hazli Kadri menggegar gawang Norazlan apabila menyempurnakan sepakan penjuru Mohd Asrol Ibrahim pada minit ke-72.
Selangor sekali lagi akan turun menentang Sime Darby dalam pusingan kedua di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini, disusuli ATM dan Johor dengan misi wajib meraih sembilan mata maksimum untuk berada dalam kelompok 16 pasukan terakhir.
No comments:
Post a Comment