Thursday, August 22, 2013

Harimau Selatan buat persiapan awal

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) bersama Cesar Ferrando Jimenez (dua kiri) dan Braulio Nobrega Rodriguez (dua kanan) di Stadium Larkin, Johor Bahru, semalam. Turut kelihatan Andres Tevar (kanan) 


Sumber: Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU - Biarpun saingan Liga Malaysia musim ini belum menutup tirainya, namun Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah membayangkan skuad Harimau Selatan akan memberikan impak dalam arena bola sepak negara musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu turut memberi bayangan mereka sudah merangka sesuatu yang tidak pernah dilakukan mana-mana pasukan dalam persediaan mengharungi saingan Liga Malaysia musim akan datang.



Pada masa sama, Tunku Ismail turut mengakui kesilapan yang dibuat dalam membentuk pasukan pada musim ini sekali gus tidak memikirkan mengenai kempen Piala Malaysia kerana pada beliau saingan liga sudah tamat apabila menyaksikan pasukan sekadar seri 1-1 ketika menentang Selangor dalam perlawanan terakhir Liga Super.

Yang pasti, skuad Harimau Selatan sudah bersedia membawa rentak bola sepak dari Sepanyol memandangkan ramai ahli keluarga baharu mereka untuk musim depan berasal atau pernah berkhidmat di negara itu termasuk jurulatih dan pemain.

Laungan awal disuarakan Johor Darul Takzim sebaik memperkenalkan pengurus dan ketua jurulatih, Cesar Ferrando Jimenez; jurulatih taktikal, Andres Tevar dan pemain baharu, Braulio Nobrega Rodriguez yang datang dari Sepanyol.

Bagaimanapun, bekas pemain Benfica, Pablo Aimar tidak menyertai majlis di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini semalam, namun pemain yang pernah beraksi bersama Valencia itu akan diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi.

"Aimar sedang membuat persiapan untuk ke sini termasuk pemeriksaan perubatan dan dia akan ke sini secepat yang mungkin.

"Saya melihat masa depan cerah untuk pasukan, malah saya yakin tahun 2014, kita akan memberi impak besar dalam arena bola sepak negara memandangkan kita sebuah pasukan sedang meningkat naik. Kita akan ada pasukan bintang," katanya.

Tunku Mahkota Johor berkata, bagi saingan Liga Malaysia musim depan, mereka sudah bersedia untuk melakukan perubahan termasuk mencari pemain yang hatinya bermain untuk pasukan dan bukan hanya mengambil gaji setiap bulan.

Beliau turut memuji Jimenez, Tevar, Aimar dan Braulio yang menunjukkan komitmen tinggi dengan berada di negeri ini lebih awal untuk menyertai Johor Darul Takzim kerana mahu menyesuaikan diri di negara yang asing bagi mereka.

"Saya akan buat apa sahaja yang perlu dan terbaik untuk skuad Harimau Selatan dan disebabkan itu saya berani membuat perubahan bagi musim depan. Saya akan membantu dan menyokong apa yang Jimenez akan buat untuk pasukan.

"Kita perlu mencapai sasaran bagi memperolehi kejayaan dan untuk itu kita tidak boleh kekal berasa selesa di mana kita berada sekarang sekali gus perlu memperbaiki kelemahan yang ada. Perubahan perlu untuk penambahbaikan," ujarnya.

Ditanya, siapa pemain import dari negara Asia yang bakal disambar skuad Harimau Selatan untuk musim depan sekali gus memenuhi kuota pemain import pasukan, Tunku Ismail menjawab, beliau sudah mengenal pasti pemain terbabit.

Beliau turut ditanya adakah pemain tengah Lions XII, Harris Harun individu dimaksudkan, Tunku Mahkota Johor itu berkata, ia adalah satu penghormatan sekiranya pemain tersebut menyertai pasukan, malah dia antara pemain yang diminati Jimenez.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut memberitahu, tiga pemain negeri ini yang beraksi bersama Harimau Muda akan menyertai skuad Harimau Selatan iaitu Fadhli Sas, Fandi Othman dan Irfan Fazil selepas temasya sukan sea berakhir.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...