Tuesday, August 27, 2013

Affize tak sabar beraksi

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Penggantungan dua perlawanan cukup menyeksakan buat pemain tengah Mohd Affize Faisal Mamat yang tidak sabar membuat penampilan pertama dalam Piala Malaysia sejak bergelar pemain profesional bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim ini.

Bekas pemain Harimau Muda A itu terpaksa disisihkan dalam dua aksi pembukaan Kumpulan A kerana menjalani hukuman selepas menerima kad merah pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Perak Julai lalu dan kini dia nyata sudah bersedia untuk menggalas tugas yang bakal diberikan jurulatih B Sathianathan bagi pertemuan dengan Johor hari ini.



“Memang saya teruja untuk bermain dalam perlawanan pertama Piala Malaysia dan kalau saya diturunkan dalam perlawanan menentang Johor esok (hari ini), saya cuba untuk melakukan sesuatu bagi membantu pasukan meraih kemenangan,” katanya.

ATM naib juara musim lalu bangkit daripada kekalahan pertama dengan Sime Darby FC 3-4 apabila mengatasi Selangor 3-2 Sabtu lalu sekali gus merekod kemenangan pertama dalam enam perlawanan terakhir mereka.


Bagi Affize, 24, yang mencetuskan kontroversi di awal musim apabila dia menjadi rebutan negeri kelahirannya Terengganu dan ATM yakin kejayaan membenam pasukan gergasi Selangor memberikan suntikan moral kepada skuad The Gladiators.


“Bagi saya Johor pasukan yang bagus dan mereka kini menduduki tangga teratas kumpulan jadi kami tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka. Tapi kami sudah mula mendapat keyakinan selepas menang dengan Selangor dan kami mahu rentak kemenangan ini dapat diteruskan dalam baki saingan peringkat kumpulan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...