Tuesday, August 6, 2013

Mahu bawa pulang Teong Kim

Khairy Jamaluddin, Lim Teong Kim

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang membawa pulang Lim Teong Kim yang merupakan bekas penolong jurulatih pasukan akademi kelab gergasi Jerman, Bayern Munich Bawah 19 tahun bagi membantu meningkatkan prestasi sukan popular tanah air itu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan tersebut antara lain juga bertujuan untuk membantu meningkatkan pembangunan akar umbi bola sepak di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).



Jelasnya, walaupun pada dasar, Teong Kim memberi reaksi positif, namun masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum bersetuju pulang ke tanah air.

“Saya ada berjumpa dengan beliau pagi tadi (semalam) bagi menyusul tujuan untuk membawanya pulang bagi membantu pasukan bola sepak negara.

“Perkara tersebut masih lagi di peringkat perbincangan. Ada beberapa perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua belah pihak," katanya ketika ditemui selepas mengedarkan juadah berbuka puasa kepada pengguna kenderaan awam di Stesen Sentral Kuala Lumpur anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB).

Teong Kim adalah pemain bola sepak negara pertama bermain di Eropah bersama kelab Jerman, Hertha Berlin yang beraksi di Divisyen Tiga pada tahun 1987 dan sempat beraksi selama semusim di sana.

Selepas pulang dari Jerman, Teong Kim beraksi bersama Kuala Lumpur yang menyaksikan dia membantu pasukan warga kota itu meraih kejuaraan tiga kali berturut-turut Piala Malaysia pada tahun 1987 hingga 1989.

Kedah menjadi pasukan terakhir yang diwakili Teong Kim pada tahun 1992 dan 1993 sebelum anak jati Melaka ini bersara daripada dunia bola sepak dan memulakan kariernya dalam bidang kejurulatihan bersama skuad Bawah 13 tahun Bayern Munich pada tahun 2000 sebelum kontraknya tamat pada tahun lalu.

Di Bayern, dia pernah bekerjasama dengan beberapa pemain ternama Jerman pada masa sekarang seperti Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Diego Contento dan David Alaba.

Penolong kepada Kurt Niedemeyer, bekas pemain Bayern ini pernah melahirkan minat untuk membantu Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam aspek pembangunan akademi pada tahun lalu.

Sementara itu, ketika di soal berhubung pendiriannya untuk bertanding dalam jawatan Ketua Pergerakan Pemuda dalam pemilihan UMNO, beliau masih lagi berteka-teki.

“Saya akan umumkan kemudian sama ada bertanding atau tidak. Tunggu sahaja selepas Aidilfitri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...