Friday, August 23, 2013

Ubat pasti ada pengesahan: Ramlan

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: “Saya fikir pemain itu tidak mengambil ubat, kalau ubat mesti ada pengesahan daripada pegawai perubatan pasukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz ketika mengulas mengenai kes seorang pemain Kelantan didapati positif dadah dalam ujian doping yang dilakukan selepas tamat perlawanan akhir Piala FA 29 Jun lalu.

Beliau berkata, bukan hanya pemain bola sepak malah atlet sukan lain juga sepatutnya sedar mengenai kesan buruk yang bakal mereka alami jika terbabit dengan gejala tidak sihat itu.



“Bagi saya ini adalah gaya hidup songsang yang tidak sesuai bagi pemain atau pun atlet. Sepatutnya mereka ini berbangga dengan prestasi semula jadi dan bukannya dengan bantuan benda lain. Perkara ini memerlukan pemantauan dari semua pihak tapi kita tidak boleh salahkan orang lain sebaliknya pemain sudah boleh berfikir sendiri.

“Ini membabitkan masalah integriti bukan saja dalam aktiviti sukan tetapi gaya hidup. Saya harap tiada toleransi dalam kes ini dan masalah ini harus diperangi habis-habisan,” kata Ramlan.


Menerusi laporan Arena Metro semalam, Jawatankuasa Tatatertib FAM mengumumkan seorang pemain pasukan finalis Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT) didapati bersalah kerana gagal ujian doping yang dilakukan secara rambang selepas tamat perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.


Pengerusi Jawatankuasa itu, Datuk Taufek Abd Razak enggan mendedahkan identiti pemain dan pasukan terbabit apabila mereka memutuskan untuk menangguhkan dulu keputusan hukuman bagi memberi peluang kepada pemain untuk memberikan penjelasan pada satu lagi mesyuarat yang dijangka akan diadakan minggu depan.

Bagaimanapun sumber dalam Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semalam mengesahkan bahawa pemain terbabit adalah pemain yang mewakili pasukan mereka.


Menurut Taufek, kesalahan yang dilakukan pemain itu amat berat dan kemungkinan dia mungkin boleh digantung seumur hidup daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak.

Sementara itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia melancarkan ‘perang’ dalam membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan pemain apabila bercadang untuk mengadakan ujian doping lebih kerap selepas ini.


Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, walaupun kes ini dianggap kes terpencil namun itu tidak bermakna badan induk bola sepak tanah air hanya berpeluk tubuh sebaliknya mereka akan cuba memastikan gejala buruk itu tidak akan berulang lagi.


“Kes pemain gagal ujian doping ini sesuatu yang mengecewakan kerana pemain pastinya sedia maklum bahawa pengambilan dadah adalah salah di sisi undang-undang. FAM mengambil serius kes ini dan saya akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) supaya ujian doping boleh diadakan lebih kerap dan bukan hanya pada perlawanan akhir saja tapi juga pada perlawanan biasa.


“Untuk mengadakan ujian doping lebih kerap ia menelan belanja jadi kami perlu mencari mekanisme terbaik untuk melaksanakan cadangan ini. Saya berharap pihak persatuan juga dapat bekerjasama dalam memantau dan memberikan peringatan kepada semua pemain mengenai kesan penggunaan dadah ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...