Tuesday, August 6, 2013

Swasta Liga M elak muflis: Annuar

Sumber: Harian Metro

Kota Bahru: Cadangan untuk menswastakan Liga Malaysia perlu dilakukan segera Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengelak pasukan bola sepak negeri muflis selepas hak mereka banyak dinafikan badan induk itu.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, hasil daripada hak penyiaran secara langsung daripada ASTRO sepatutnya milik persatuan negeri tetapi disebabkan FAM yang mengendalikan sepenuhnya, hak itu terus dijual badan induk berkenaan.



Katanya, jika sistem itu berterusan, tidak mustahil persatuan negeri boleh muflis kerana ketiadaan dana secukupnya untuk mengendalikan pasukan terutama pembayaran gaji kepada pemain. “Dalam soal itu, kita (pasukan negeri) yang pergi main, namun, hak kita dijual FAM. Bila pasukan bermain dan ada tayangan langsung di Astro, kita tidak mendapat apa-apa (bayaran) kerana hak sudah dijual FAM.

“Itu sebab, sistem berkenaan tidak sesuai bagi pasukan negeri. Kalau masih bertahan dengan cara ini, lebih banyak pasukan akan lingkup kerana ketiadaan punca sumber kewangan, selain pasukan tiada hak untuk bersuara,” katanya.


Beliau berkata demikian sempena majlis berbuka puasa Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bersama pengamal media Kelantan, kelmarin.


Pada majlis sama, KAFA turut menyampaikan bonus Hari Raya berjumlah RM600,000 atau RM30,000 setiap seorang kepada semua pegawai serta pengurusan KAFA termasuk pemain yang bermain dalam final Piala FA pada 29 Jun lalu.

Selain itu, Annuar berkata ranking bola sepak negara boleh dipulihkan berbanding kedudukan 159 dunia sekarang.


“Saya yakin Malaysia boleh memperbaiki kedudukan ranking itu kerana kita pernah menduduki tangga ke-79 dunia sekitar tahun 1990-an.

“Yang penting, FAM termasuk barisan tertingginya (Exco) perlu bekerja keras dan memainkan peranan masing-masing dalam mencapai misi berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...