Monday, August 26, 2013

‘Jangan cepat dabik dada’

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Jurulatih PKNS FC, Abdul Rahman Ibrahim mengingatkan anak buahnya supaya usah terlalu cepat mendabik dada meskipun peluang mereka untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia semakin terbuka selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas T-Team kelmarin.

Ia kemenangan kedua berturut-turut buat pasukan kelab itu selepas mengejutkan Johor Darul Takzim (DT) 2-0 pada aksi pembukaan sekali gus membolehkan mereka kini menerajui Kumpulan B dengan mata maksimum.



“Apa yang kami capai dalam kempen Piala Malaysia ini hasil persiapan rapi sepanjang Ramadan. Tapi saya mahu pemain meneruskan rentak ini kerana kami masih mempunyai perlawanan penting menentang FELDA United selepas ini.

“Jika kami menang ke atas FELDA United, matlamat untuk layak ke suku akhir pasti cerah,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Menurut Abdul Rahman yang juga bekas jurulatih kebangsaan, kegagalan PKNS FC melepasi halangan peringkat kumpulan dalam kempen Piala Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan semangat mereka begitu membara.

“Kami sudah empat, lima kali beraksi dalam Piala Malaysia tapi gagal ke suku akhir, jadi azam pasukan ini tahun ini begitu kuat. Pemain masih perlu membuktikannya dalam baki empat perlawanan selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun tempoh rehat yang singkat bakal membuatkan beliau terpaksa membuat sedikit perubahan ke atas pasukannya dalam pertemuan dengan FELDA di Stadium Shah Alam esok.

“Pemain agak kepenatan kerana hanya sempat berehat dua hari sebelum bertemu FELDA, jadi saya perlu menggilirkan pemain. Saya berharap pemain simpanan juga mampu memberikan aksi terbaik kerana pertemuan dengan Felda penting untuk mengukuhkan kedudukan kumpulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...