Tuesday, August 20, 2013

Penjaga gol TRW tak sihat

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: Kelantan menghadapi masalah saat akhir menghadapi perlawanan pertama menentang Pahang dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam ini apabila keempat-empat penjaga golnya tidak sihat termasuk dua tonggak.

Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak mengesahkan keempat-empat penjaga gol termasuk penjaga gawang utama, Khairul Fahmi Che Mat berada pada tahap kurang memuaskan kerana demam.



Katanya, masalah itu menyebabkan persiapan akhir The Red Warriors (TRW) terjejas malah dua tonggak iaitu pemain pertahanan, Azizi Mat Rose dan penyerang, Mohd Norfarhan Muhammad juga tidak sihat sepenuhnya.

“Ada sedikit masalah kerana semua penjaga gol yang kita ada berada dalam keadaan kurang memuaskan, malah Khairul Fahmi juga demam. Kita akan lihat perkembangan kesihatan mereka sehingga esok (hari ini).


“Azizi dan Norfarhan juga mengalami masalah sama. Jika pemain yang menghadapi masalah ini pulih sebelum perlawanan, saya harap mereka dapat membantu mendapatkan tiga mata,” katanya. Sementara itu, ketua pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang kini mengesahkan sudah pulih 90 peratus bersedia menjadi perancang utama TRW untuk menggalas misi mempertahankan kejuaraan.


Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, walaupun beberapa tonggak dibelenggu masalah kesihatan pemain yang memakai jersi bernombor 16 itu berharap dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata di gelanggang lawan.

“Syukur kerana kecederaan ini sudah pulih dan jika dibenarkan beraksi, saya bersedia menggalas tanggungjawab membantu pasukan menang perlawanan pertama. Kita juga tidak boleh mengetepikan kehebatan Pahang namun bagi saya, Kelantan perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata di tempat mereka. Jika menang itu bonus buat kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...