Sumber: Harian Metro
Seremban: Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com) menyifatkan kemerosotan pasukan negeri itu dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini lebih kepada kesilapan memilih jurulatih serta pemain yang kurang berwibawa daripada isu rasuah dibangkitkan.
Timbalan Presiden N9Futbol.com Mohd Faidzul Mohamad Noh berkata, pemilihan Divaldo Alves selaku pengendali skuad Hoben Jang Hoben dari awal musim menimbulkan banyak persoalan.
Katanya, sepanjang pengendali dari Portugal itu membimbing pasukan, Negeri Sembilan gagal mencatat kemenangan dalam 16 perlawanan Liga Super sekali gus menyerlahkan kelemahan pengendali itu.
“Selepas disingkirkan, Ridzuan Abu Shah yang menggantikannya berdepan tugas berat bermula daripada perlawanan ke-17 Liga Super, tapi mencatat kemenangan pertama ke atas ATM di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
“Sepatutnya, pengurusan bertindak dari awal bagi membolehkan kelemahan diatasi dan kembali membentuk pasukan mantap tapi pertukaran jurulatih ketika saingan menghampiri penghujung pasti menyukarkan pasukan untuk bangkit.
“Kami tidak menafikan beberapa pemain kurang menyerlah kerana ada yang sudah tidak diterima pasukan lain dan faktor ini tidak boleh diketepikan jika ingin menilai pencapaian keseluruhan musim ini,” katanya.
Menurutnya, isu pemain menjual perlawanan perlukan bukti dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan sudah mengingatkan pemain sebelum saingan Liga M bermula supaya mengelak terbabit gejala itu.
“Kita tidak tahu sama ada ia berlaku dan terserah kepada pengurusan mengemukakan bukti tapi bagi kelab penyokong, kita yakin banyak faktor menyumbang kemerosotan pasukan.
“Kami harap persatuan dapat membentuk pasukan mantap musim depan dengan melantik jurulatih dan pemain lebih berwibawa.” Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan berkata, mereka hingga kini belum menerima laporan PBNS mengenai dakwaan pemain pasukan itu terbabit menjual perlawanan.
“Kami belum terima laporan itu dan jika ada, kami akan lakukan siasatan terperinci,” kata Pengarah SPRM Negeri Sembilan Sok One a/l Esen.
Kelmarin, Mohamad mendedahkan ada kemungkinan pemain Negeri Sembilan terbabit mengatur perlawanan apabila tidak beraksi pada tahap sebenar sekali gus menyebabkan pasukan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
No comments:
Post a Comment