Friday, August 9, 2013

PBNS ambil langkah pulihkan pasukan

Sumber: Sinar Harian & Bernama

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan mengambil langkah drastik untuk membina semula pasukan Negeri Sembilan walaupun bersaing dalam Liga Perdana musim depan.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana PBNS mempunyai matlamat untuk melonjakkan semula skuad Rusa ke persaingan Liga Super.

Beliau berkata beberapa pemain profesional yang menunjukkan aksi secara ala kadar dalam saingan Liga Super musim ini akan dilepaskan dan diganti dengan beberapa pemain baru.



Langkah penyusunan skuad itu turut melibatkan pengambilan jurulatih baharu dan pengurus pasukan sepenuh masa, katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Negeri Sembilan di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berharap beberapa langkah yang akan dilakukan itu akan memastikan pasukan Negeri Sembilan dapat membawa cabaran yang kuat dalam kancah Liga Perdana musim depan dalam usaha melonjak semula ke dalam Liga Super musim berikutnya.

Mohamad juga tidak menolak kemungkinan beliau menjadi pengurus pasukan bagi memastikan matlamat ini tercapai.

"Jika saya jadi pengurus pasukan, saya akan melantik seorang penolong pengurus sepenuh masa supaya sebarang masalah dapat dibawa kepada jawatankuasa pengurusan untuk tindakan segera," katanya.

Beliau berkata sebelum ini banyak masalah pemain tidak disampaikan kepadanya dan ini mengakibatkan masalah pemain tidak selesai sehingga pencapaian pasukan terjejas.

Mengenai kempen Piala Malaysia musim ini yang bermula 20 Ogos ini, beliau berkata peluang Negeri Sembilan agak tipis memandangkan tiga lagi pasukan pantai timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu yang bersaing dalam Kumpulan C adalah pasukan yang kuat.

"Untuk Piala Malaysia musim ini, saya kira peluang kita agak tipis, tambahan pula kita tidak ada perubahan (pemain) dalam pasukan kita," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...