Wednesday, August 7, 2013

Skuad wanita negara semakin bertenaga

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Jika sebelum ini dilabel pasukan belasahan, skuad bola sepak wanita negara kini mula mempamerkan peningkatan sekali gus memberikan bayangan mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa atau sekurang-kurangnya di peringkat rantau Asia Tenggara buat tempoh terdekat ini.

Kemenangan 2-1 ke atas Thailand pada aksi persahabatan bulan lalu membuktikan skuad bimbingan Jacob Joseph itu mampu menjanjikan sesuatu apabila turun beraksi di Sukan SEA Myanmar, hujung tahun ini.



Bagi pengendali negara itu, keputusan itu memberikan petanda positif kerana beliau mengaku sukar untuk mengumpul pemain ketika membentuk pasukan itu pada Mac tahun lalu.

“Bagi saya pasukan ini sudah menunjukkan peningkatan, tahun lalu kita kalah 0-4 kepada Thailand dan kali ini kita menewaskan mereka. Malah jika dilihat semula rekod pertemuan, kita pernah dibelasah Thailand 1-8 pada Piala AFF 2011.


“Bukan mudah untuk membentuk pasukan ini kerana sukar mencari pemain bola sepak wanita di negara ini berbanding futsal. Berikutan kekurangan pemain itu, hingga kini kita sukar menganjurkan liga bagi memilih pemain,” katanya kepada Arena Metro.


Skuad negara mengadakan tiga siri perlawanan persahabatan di Bangkok bulan lalu dengan mencatat kemenangan 2-1 ke atas skuad kebangsaan Thailand dan kelab Liga Super Northern Bangkok 2-1 sebelum tumpas 0-3 dalam pertemuan sekali lagi dengan Thailand.

“Pada perlawanan kedua dengan Thailand saya merombak pemain untuk mencuba mereka yang tidak beraksi sebelum itu, termasuk menggunakan penjaga gol ketiga,” kata Jacob yang kini memiliki 25 pemain, kebanyakannya berusia antara 17 hingga 25 tahun.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...