Friday, August 2, 2013

Harimau Malaya dapat jemputan Bosnia

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Impian untuk melihat Harimau Malaya bersaing dalam aksi persahabatan antarabangsa berkelas A dijangka menjadi kenyataan apabila Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi jaminan keutamaan mereka selepas ini adalah meningkatkan kedudukan ranking negara dalam masa terdekat.

Tambah menggembirakan salah satu pertemuan yang telah dirancang adalah pertembungan dengan pasukan pada tangga ke-14 dunia, Bosnia yang berminat berdepan dengan pasukan negara pada 10 November ini di Kuala Lumpur.




"Pada masa akan datang, soal ranking akan menjadi keutamaan FAM dan pasukan kebangsaan akan menjalani lebih banyak perlawanan persahabatan berkelas A dengan pasukan negara lain.

"Jadi, FAM telah menyusun beberapa perlawanan persahabatan sehingga penghujung tahun ini bermula menentang Grenada, yang berada di ranking 123 dunia (masih dalam perancangan) pada 6 September, China (ranking ke-100) pada 10 September dan pasukan ke-85 dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 9 Oktober.

"Selain perlawanan-perlawanan kelayakan Piala Asia yang penting seperti berdepan Bahrain pada 15 Oktober dan Qatar pada 19 November, skuad kebangsaan dalam perancangan menentang pasukan di tangga ke-14 dunia, Bosnia pada 10 November, " katanya pada sidang akhbar Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak FAM di salah sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Melalui maklumat yang diperolehi pengurus Harimau Malaya yang juga merangkap Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, Bosnia sendiri telah menghantar surat jemputan kepada Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur.

"Pertemuan dengan Bosnia ini bukan kita di FAM yang mengaturkan sebaliknya Bosnia sendiri mahu datang ke sini bertemu dengan Malaysia, " katanya.

Malahan, Tengku Abdullah menggesa mulai tahun hadapan, pasukan kebangsaan akan lebih banyak berentap dengan pasukan-pasukan dari rantau ASEAN dari sembilan tarikh yang ditetapkan di dalam kalendar FIFA bagi mengadakan perlawanan persahabatan.

"Daripada sembilan tarikh yang diberikan, saya mahukan empat daripadanya ditandingi oleh pasukan-pasukan dari rantau ASEAN bagi meningkatkan lagi kedudukan ranking kita dalam masa setahun atau dua tahun ini.

"Sasaran FAM boleh meletakkan Malaysia sekurang-kurangnya di tempat ke-130 dunia dalam masa terdekat ini selepas dapat mengatur banyak perlawanan persahabatan berkelas A, " katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah mengumumkan FAM dalam usaha pencarian mendapatkan Pengarah Teknikal dan Pengarah Pembangunan FAM yang baru bagi mengawasi beberapa skop tugas jawatan pembangunan bola sepak negara.

"Jawatan ini dibuka kepada semua yang layak sama ada dari kalangan jurulatih tempatan atau luar negara, tugas mereka ini adalah membuat koordinasi projek pembangunan yang telah diamanahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

"Selain itu, mereka perlu mengawasi lagi perjalanan satu lagi unit iaitu bola sepak futsal dan pembangunan wanita, semua pemilihan berkenaan akan dijalankan dalam masa terdekat, " katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...