Monday, August 5, 2013

Penyertaan pasukan Kuala Lumpur berdepan penggantungan?

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Selepas bernasib baik terlepas pada musim lalu, adakah penyertaan pasukan bola sepak Kuala Lumpur pada musim depan di Liga FAM akan digantung dan nama skuad warga kota bakal menjadi satu sejarah pada masa akan datang?

Kegagalan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) melunaskan gaji pemain selama empat bulan bakal menyaksikan mereka boleh dikenakan hukuman penggantungan daripada beraksi saingan Liga Malaysia musim depan, demikian kata, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Daud.



Jelasnya, FAM telah memberi tempoh akhir sehingga hujung bulan ini yang jatuh pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos buat KLFA melangsaikan segala tunggakan gaji pemain jika masih berkeinginan beraksi di Liga Malaysia.

"Sebenarnya pihak KLFA ada memaklumkan kepada FAM yang mereka hanya boleh membayar gaji pemain selama sebulan dahulu daripada tunggakan empat bulan kerana mereka sedang menghadapi masalah kewangan.

"Apa yang menjadi masalahnya, jika mengikut peraturan, mana-mana pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji sekurang-kurangnya sebulan sekali pun, mereka boleh dikenakan tindakan penggantungan, mujurlah mereka tidak beraksi di Piala Malaysia musim ini, jika tidak mereka mungkin tidak boleh bermain.

"Jadi, kami telah berikan tempoh hingga 31 Ogos ini kepada KLFA menjelaskan semua hutang tertunggak dan sekiranya masih gagal selepas melepasi tarikh itu, Sekretariat dan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM akan bersidang bagi menentukan nasib KLFA sama ada akan digantung atau tidak bagi musim depan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sabtu lalu, pemain Kuala Lumpur mendedahkan yang gaji mereka semenjak April lalu tidak pernah dibayar sehingga menyebabkan ada segelintir pemain ada beralaskan roti dan mee segera sebelum perlawanan Liga Perdana bermula selain menyukarkan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia itu mendapat maklum balas segera oleh KLFA melalui Setiausahanya, Nokman Mustaffa yang berjanji akan membayar gaji selama sebulan sebelum Hari Raya, 8 Ogos ini.

Isu tunggakan gaji bukan satu perkara yang baru dalam dunia bola sepak negara sehingga menyebabkan JKPT FAM tahun lalu bertindak mewujudkan satu badan bebas memantau transaksi pembayaran gaji pemain di dalam setiap pasukan bertanding serta mendapatkan kerjasama daripada pihak polis serta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

Jika gagal melunaskan tunggakan selepas dua kali surat amaran dikeluarkan, FAM mempunyai kuasa untuk menggantung pasukan berkenaan jika surat itu tidak diendahkan.

Fuad juga mengingatkan para pemain yang berdepan masalah sebegini agar berani tampil ke depan membuat aduan supaya FAM dapat mengetahui masalah sebenar mereka.

"Saya harap selepas ini, selain daripada mereka menceritakan masalah mereka di dada akhbar, datanglah buat aduan kepada FAM, jangan takut kerana kami akan cuba bantu untuk selesaikan masalah ini.

"Jika FAM tidak tahu, sampai bila masalah ini boleh diselesaikan, jadi saya harap mereka tidak takut untuk tampil ke depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...