Wednesday, August 21, 2013

Ronaldinho rentap ego Harimau Selatan

Foto

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Status pasukan pilihan seakan-akan tidak memberi sebarang makna buat Johor Darul Takzim (DT) apabila pasukan berbelanja mewah itu tersungkur di tangan PKNS FC, 0-2 pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Dua gol pemain import dari Liberia Patrick Ronaldinho Wleh (tiga dari kiri) pada setiap babak sudah cukup untuk memberikan PKNS FC tiga mata berharga di laman sendiri ketika mereka pada mulanya tidak banyak diberikan harapan untuk mencipta kejutan ke atas skuad Harimau Selatan yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol Muhammad Al-Hafiz Hamzah dilayangkan kad merah pada minit ke-62 kerana menampan bola di luar kotak penalti.



Johor DT yang dikendalikan Azmi Mohamed bagi menggantikan Fandi Ahmad selepas tamat kempen Liga Super bermula baik apabila mengasak kubu pasukan tuan rumah menerusi percubaan Andrezinho yang ditepis keluar Mohd Remezey Che Ros pada minit ke-5.

Namun penguasaan Johor DT tidak bertahan lama apabila PKNS FC mula mendapat rentak dan berjaya mendahului permainan menerusi rembatan Ronaldinho selepas memperdayakan dua pemain pertahanan lawan dalam kotak penalti pada minit ke-16.


Pasukan pelawat memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-33 namun Remezey tangkas menafikan sepakan percuma pemain import dari Argentina Leonel Nunez.


Bersambung babak kedua, Ronaldinho sekali lagi menjadi duri dalam daging Johor DT apabila bijak menyempurnakan hantaran pemain perancang Muhamad Nazmi Faiz Mansor untuk menewaskan Muhamad Al-Hafiz bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-57.

Johor DT bertambah derita apabila Muhamad Al-Hafiz diarahkan meninggalkan padang oleh pengadil Samsudin Ibrahim kerana menampan bola di luar kotak penalti ketika cuba menghalang pergerakan Ronaldinho pada minit ke-62.


Biarpun bangkit mengasak di penghujung permainan namun Johor DT tidak mampu menafikan kemenangan pertama anak buah Abdul Rahman Ibrahim untuk memimpin saingan dalam Kumpulan B.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...