Friday, August 30, 2013

Tiada maaf jika Sime Darby terbabit rasuah

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: “Tiada maaf bagimu.” Itu amaran keras jurulatih Sime Darby FC Ismail Zakaria kepada barisan pemainnya supaya tidak terbabit dengan gejala mengatur perlawanan dalam kempen Piala Malaysia yang kini rancak berlangsung.

Menurut pengendali kelab itu, beliau tidak akan berkompromi terhadap pemain yang dikaitkan dengan gejala tidak bermoral itu bagi memastikan usaha mereka memburu kejayaan dalam kejohanan itu tidak terjejas.



“Saya sering mengingatkan pemain supaya tidak terbabit dengan rasuah. Jika ada nama pemain kami dikaitkan saja, tidak kira salah atau tidak, saya akan terus ambil tindakan. Tiada maaf bagimu. Bagi saya ini satu isu serius dan saya memang akan bertegas jika ada pemain yang terbabit,” katanya.

Bagaimanapun Ismail berpuas hati dengan disiplin anak buahnya setakat ini dan beliau yakin pasukannya bebas daripada gejala itu yang secara tiba-tiba kembali dibangkitkan dalam saingan Piala Malaysia ini.


Mengulas mengenai pertemuan dengan Selangor yang kini ketiadaan jurulatih apabila Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan kelmarin, sehari selepas tumpas 2-3 kepada Sime Darby dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia, Ismail berkata, pasukan juara 32 kali itu tetap bahaya.


“Selangor tanpa Irfan tetap bahaya, mereka mempunyai pemain hebat dan mungkin penolong jurulatih P Maniam yang akan mengambil alih tugas Irfan mempunyai strategi tersendiri. Pemain saya perlu beraksi lebih baik dan bekerja keras sepanjang perlawanan dengan Selangor.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...