Thursday, August 1, 2013

Harimau Malaya ‘hampiri kiamat’

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Apa lagi yang mahu diperkatakan mengenai skuad kebangsaan apabila mereka sekali lagi diaib kekalahan besar 0-5 dan kali ini lebih mengecewakan apabila menjadi mangsa kepada kelab Liga Divisyen Dua Jepun, Tokyo Verdy dalam aksi persahabatan semalam.

Ia kekalahan ketiga berturut-turut kunjungan Harimau Malaya ke Jepun selepas tumpas pada perlawanan pertama dengan kelab liga utama Jepun, Shimizu S Pulse 0-2 dan Shonan Bellmare 0-5 minggu lalu.



Mungkin bagi pengendali kebangsaan Datuk K Rajagobal, keputusan aksi persahabatan ini tidak mencerminkan kekuatan pasukan kerana beliau yakin anak buahnya akan berada di kemuncak prestasi ketika berdepan Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada Oktober.

Namun bekas pemain kebangsaan, Dali Omar kecewa dengan kekalahan terbaru itu yang menganggap moral pemain kini semakin luntur sekali gus menyebabkan peluang Malaysia melepasi pusingan kelayakan Kumpulan D Piala Asia di Australia, tipis.

“Sepatutnya dalam perlawanan persahabatan seperti ini, kita perlu menang untuk pemain mendapatkan keyakinan tapi sebaliknya pasukan negara diaib pasukan kelab. Saya yakin moral pemain terjejas jika pasukan asyik mengalami kekalahan apatah lagi dalam perlawanan dengan kelab bawahan tapi pemain ini tidak berani untuk bersuara. Kalau zaman saya dulu, pemain akan memberitahu jurulatih jika ada sesuatu yang tidak kena,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Ketika ditanya apakah yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kepincangan itu, pemain yang pernah mewakili Azzuri Australia itu berkata: “Kita sudah terlanjur, kita sudah lama membiarkan perkara ini berlaku. Sudah berapa banyak perlawanan eksperimen yang dilakukan Rajagobal? Saya tidak tahu sama ada kita boleh layak atau tidak ke Piala Asia dengan prestasi semasa seperti ini.

“Beliau sebenarnya mempunyai pemain yang bagus tapi gagal memberikan posisi dan peranan betul kepada pemain. Sebagai contoh menggandingkan Piya (Mohd Badhri Radzi) dengan Safiq Rahim, sedangkan Piya lebih serasi dengan Shakir Shaari dan Amri Yahyah dengan Farhan (Mohamad).


Luahan Dali itu turut dikongsi seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh yang menganggap kekalahan skuad kebangsaan dengan kelab Divisyen Dua Jepun itu menconteng aib di muka seperti yang terjadi ketika anak buah Rajagobal tewas kepada pasukan Divisyen Dua Australia bulan lalu.

“Sepatutnya kita perlu jaga imej negara daripada terpaksa menanggung malu apabila kalah dengan pasukan kelab. Kejayaan lalu (Sukan Sea Laos 2009 dan Piala AFF 2010) tak usah dikenang, kalau mahu dikenang juga kita perlu menang setiap perlawanan,” katanya.


Skuad kebangsaan pulang ke tanah air hari ini dan akan membuat persiapan sebelum berdepan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...