Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan berjaya mengekang asakan Barcelona selama setengah jam dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin, namun tandukan Cesc Fabregas pada minit ke-33 sedikit merencatkan cerita indah tersebut malah ada peminat bola sepak mengatakan ia berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Malah di laman sosial, Facebook juga perkara tersebut hangat diperdebatkan, dengan ada yang mengutuk kelalaian Khairul Fahmi dan ada yang mempertahankannya dengan memberi alasan ia munasabah kerana Malaysia berdepan pasukan terbaik dunia.
Bagaimanapun, Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan nama timangan 'Apek' , memberi penjelasan tentang gol pertama pasukan gergasi Eropah itu dan dia mengakui kesilapan berpunca daripada dirinya sendiri kerana gagal menepis dengan kemas bola yang terlebih dahulu melantun ke tanah sebelum menerjah ke dalam gawang Malaysia.
"Dalam perlawanan apa sahaja boleh berlaku termasuk kesilapan, saya akui tidak dapat menepis bola tersebut dengan baik sehingga menyebabkan mereka (Bacelona) memperoleh gol sulung. Saya bukan tidak cuba malah telah mencuba untuk menepisnya dan saya berasa sedikit kecewa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, dia sudah memberikan persembahan sebaik mungkin namun hanya perkataan maaf dapat diungkapkan kepada rakan-rakan sepasukan dan seluruh rakyat Malaysia kerana melepaskan dua gol yang membolehkan pasukan Catalan itu mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
"Secara keseluruhannya untuk perlawanan semalam (kelmarin) kami telah buat yang terbaik, kita sudah cuba bertahan untuk tidak dibolosi namun ada beberapa kesilapan termasuk gol pertama tersebut. Bagaimanapun kita harus sedar bertemu dengan sebuah pasukan terbaik dunia.
"Sekurang-kurangnya kita belajar sesuatu daripada mereka. Pasukan hebat yang lain pun sukar untuk mengalahkan mereka apatah lagi kita pasukan yang kecil ini. Bagi saya taktikal kita menjadi, jurulatih juga sudah memberitahu kepada kami supaya memberi persembahan terbaik," kata penjaga gol Kelantan itu.
Selepas ketinggalan 1-0 melalui jaringan Fabregas, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari luar petak penalti, Amri Yahyah pada minit ke-41 namun Barcelona kembali mendahului dengan jaringan pemain dari Brazil, Neymar dua minit kemudian.
Khairul Fahmi digantikan dengan Farizal Marlias pada separuh masa kedua dan skuad bimbingan Gerardo Martino itu berjaya memperoleh gol ketiga menerusi Gerard Pique pada minit ke-75.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Khairul Fahmi berkata, semua pemain kebangsaan akan kembali ke pasukan negeri dan kelab masing-masing untuk memberi tumpuan kepada saingan Piala Malaysia termasuk dirinya sendiri.
"Kami berada dalam kumpulan yang bukan mudah, tetapi kami akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan trofi Piala Malaysia terus kekal di bumi Kelantan," katanya.
No comments:
Post a Comment