Sumber: Harian Metro
Alor Setar: Penyerang Khyril Muhymeen Zambri mengakui gandingannya bersama Alan Guc semakin mantap dan kerjasama mantap itu akan diterjemahkan ketika menentang LionsXII pada perlawanan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar malam ini.
Pemain kebangsaan itu menjaringkan enam gol pada saingan Piala Malaysia musim lalu selain mengikat LionsXII 3-3.
“Beraksi di padang rumput tiruan bukan masalah sebenarnya kerana kami kini menjalani latihan di padang sama yang dibina Dewan Bandaraya Alor Setar. Bezanya pergerakan bola itu lebih laju dan lantunan bola agak tinggi. Itu saja.” katanya. Menurutnya, persefahamannya dengan Guc semakin mantap apabila penyerang Croatia itu berjaya menjaringkan sembilan gol biarpun hanya tiba pada pertengahan musim liga.
Katanya kemasukan sayap kiri Syazwan Zainol dari FELDA United turut memantapkan persembahan Kedah yang mengamalkan permainan menyerang pentas.
Hasilnya Kedah mencatat kemenangan dalam semua perlawanan persahabatan sepanjang Ramadan lalu.
Semua itu, kata Khyril berpunca daripada kombinasi jurulatih Datuk Ahmad Shafie dengan pembantunya Antonio Sisic yang berjaya memberi nafas baru kepada pasukan Kedah.
Malahan keprihatinan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan pengurusan pasukan dengan memastikan kebajikan pemain terjamin, menguatkan semangat pemain untuk berjaya.
“Kami akan buktikan biarpun tampil selaku wakil Liga Perdana, Kedah akan membuat kejutan dalam setiap perlawanan. Misi kami adalah mara ke suku akhir dan itu bukan mustahil,” katanya.
Kedah sebelum ini berjaya menjulang Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2007 dan 2008 serta pernah dinobatkan juara Liga Super dan Piala FA.
No comments:
Post a Comment