Tuesday, December 11, 2012

Optimis iringi Harimau Malaya ke Bangkok




SEPANG - Datuk K. Rajagobal optimis dan positif untuk menghadapi pertembungan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF di padang lawan Khamis ini setelah Harimau Malaya mempamerkan permainan menyakinkan walaupun akhirnya akur seri 1-1 dengan Thailand, kelmarin.

Menurutnya, walaupun Thailand beraksi di tempat sendiri dan mempunyai bekalan satu gol, beliau tetap positif tanpa membenarkan sebarang anasir lain mengganggu fikirannya.



"Apabila kita beraksi pada peringkat ini sudah tentu akan bermain dengan baik dan mahu menghiburkan rakyat Malaysia, saya mahu pemain buat sesuatu untuk negara terutamanya dalam sukan bola sepak," katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) sebelum berangkat ke Bangkok semalam.

Rajagobal yang berpuas hati dan bangga dengan penampilan pemainnya ketika perlawanan separuh akhir pertama kelmarin berkata, siapa sahaja akan memberi penghormatan kepada pemain jika bermain dengan bersemangat dan terus berjuang.

"Persediaan kita seperti biasa, apabila tiba di Bangkok nanti saya akan lihat keadaan pemain selepas mereka mengharungi perlawanan yang penuh agresif dan beraksi pada tahap yang membanggakan semalam (kelmarin).

"Pemain telah memberikan persembahan terbaik, saya rasa permainan paling baik dalam kejohanan ini, kita akan lihat keadaan pemain dan fikir apa yang perlu dilakukan sebaik tiba di sana," katanya.

Mengenai formasi yang digunakan kelmarin, Rajagobal berkata, pada awal saingan beliau menggunakan strategi 4-2-3-1 disebabkan lima pemain tonggak tidak dapat beraksi kerana kecederaan.

"Apa pun formasi yang kita gunakan, saya ingin menekankan di sini bahawa saya bangga dengan komitmen pemain, Thailand tidak mempunyai sebarang masalah untuk menurunkan barisan kesebelasan utama mereka.

"Setakat ini Shakir Shaari dan Wan Zack Haikal Wan Nor tidak mampu untuk beraksi dalam perlawanan separuh akhir kedua, S. Kunanlan mula kita nampak seperti mampu diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi kita juga mahu menilai keadaan Khyril Muhymeen Zambri," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...