Friday, December 7, 2012

Wan Zack terlepas dua aksi

Harian Metro


KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal berdepan detik sukar dalam mempersiapkan pasukannya menghadapi Thailand pada aksi separuh akhir Piala AFF apabila terpaksa melupakan khidmat pemain Wan Zack Haikal Wan Nor.

Selepas ujian imbasan terhadap kecederaan otot paha kanan semalam, Wan Zack disahkan tidak dapat beraksi untuk dua aksi separuh akhir di laman sendiri, Ahad ini dan Bangkok pada 13 Disember.



Kecederaan pemain sayap itu pastinya dirasai ketika kem negara bergelut dengan masalah kecederaan tonggak utama membabitkan pemain tengah, Mohd Shakir Shaari yang turut tidak dapat diturunkan pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Penyerang Mohd Safee Sali serta pemain sayap S Kunanlan dan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri masih bergelut dengan kecergasan selepas pulih daripada kecederaan.

“Kecederaan Wan Zack agak teruk. Pada awalnya saya menganggap ia kecederaan kecil tapi selepas pemeriksaan dengan doktor hari ini (semalam), dia pasti tidak dapat bermain dua perlawanan separuh akhir kejohanan kali ini.

“Shakir juga tidak dapat bermain Ahad ini tapi Kunanlan menunjukkan perkembangan positif manakala Safee dan Khyrill Muhymeen masih mengadu mengalami kesakitan,” katanya kepada pemberita selepas tamat sesi latihan di padang Wisma FAM semalam.


Beliau mungkin terpaksa meletakkan Safee di bangku simpanan pada perlawanan Ahad ini.

Biarpun situasi tampak tidak menyebelahi skuad negara ketika ini, Rajagobal tetap yakin dengan kemampuan skuadnya untuk mencatat keputusan positif menentang skuad Changsuk kendalian Winfried Schafer itu.

“Situasi agak sukar apabila kehilangan ramai pemain utama tapi pemain lain dalam skuad perlu ada mentaliti untuk bersedia beraksi pada bila-bila masa. Saya harap kami akan mencapai keputusan positif,” jelasnya yang membimbing skuad kebangsaan menjulang kejuaraan di Jakarta, dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...