Friday, December 7, 2012

Cari bekalan paling kurang 2-0




KUALA LUMPUR - Legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh berkata, skuad Harimau Malaya perlu mendapatkan kemenangan di laman sendiri ketika menentang Thailand pada saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Menurutnya, kemenangan ke atas Thailand amat penting bagi membolehkan pasukan kebangsaan berkunjung ke Bangkok dengan bekalan selesa pada perlawanan separuh akhir kedua Khamis ini.

Tambah bekas pemain pertahanan itu, seandainya Harimau Malaya dapat memperoleh kemenangan 2-0, ia boleh dianggap amat baik sebagai bekalan ke laman lawan.




“Harapan kita sudah tentu mahu melihat pasukan kebangsaan menang menerusi sokongan padu daripada penyokong.

“Kemenangan dengan keputusan yang baik memang amat penting sebab kita beraksi di laman sendiri," kata Santokh kepada pemberita selepas sidang akhbar Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Kelab DiRaja Selangor, Datuk Chu Ah Nge edisi kelapan di sini, semalam.

Kejohanan tersebut bakal disertai hampir 1,000 pemain remaja melibatkan 16 pasukan dari negara seperti Malaysia, Singapura, India, Thailand dan Korea Selatan.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan pada kejohanan Sabtu dan Ahad ini iaitu bawah 9 tahun, 11 tahun, 13 tahun, 15 tahun dan 18 tahun.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan era 1970-an, Radzali Imbi memberitahu pemain Harimau Malaya tidak akan menghadapi masalah untuk menjinakkan Thailand seandainya mereka menurut arahan jurulatih dan bermain dengan sebaiknya.

“Di atas kertas pasukan Thailand mempunyai prestasi yang lebih baik berbanding skuad kebangsaan dalam saingan Piala Suzuki AFF kali ini namun bola itu bulat dan kita perlu memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri dengan sebaiknya.

“Saya yakin jurulatih Datuk K. Rajagobal lebih memahami pemainnya dan kesebelasan utama pemain yang diturunkan juga adalah yang terbaik.

“Pandangan peribadi saya untuk perlawanan Ahad ini jurulatih perlu memikirkan cara bagaimana untuk memperlahankan gaya permainan Thailand yang pantas ini tambahan pula komitmen pemain lawan amat bagus ketika di atas padang," katanya.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...