Friday, December 7, 2012

Mampu capai sasaran

Harian Metro


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin yakin skuad Gergasi Merah mampu mencapai sasaran awal untuk melepasi halangan peringkat kumpulan Piala AFC yang bakal membuka tirai Mac depan.

Jelasnya, keyakinan itu hadir buat Selangor apabila melihat peluang cerah buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim berikutan undian peringkat kumpulan semalam.



Menerusi undian, Selangor akan bersaing dalam Kumpulan H bersama Tampines Rovers ( Singapura), East Bengal (India) dan Saigon Xuan Thanh (Vietnam).

“Saya tengok (kedudukan) kumpulan ini seimbang. Selangor amat serius dalam kejohanan ini. Sasaran awal kami adalah untuk menduduki kelompok dua teratas peringkat kumpulan.


“Jika tengok pasukan Selangor pada musim ini, secara keseluruhan kami memiliki ramai pemain muda tapi kami juga memiliki bekas pemain kebangsaan,” katanya.


Hamidin berkata, untuk memantapkan lagi pasukan Selangor, mereka kini berusaha untuk mendapatkan dua lagi pemain import.

“Kami akan mencari dua lagi pemain import bagi menguatkan bahagian tengah dan serangan,” katanya.


Selain Selangor, satu lagi wakil negara beraksi dalam Piala AFC adalah juara tiga piala, Kelantan yang diundi dalam Kumpulan G bersama Ayeyawady United (Myanmar), Da Nang (Vietnam) dan Maziya (Maldives).

Perlawanan pertama Piala AFC 2013 ialah pada 5 dan 6 Mac ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...