PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang berunding dengan Persatuan Bola Sepak Pahang dan Perlis bagi meminjam satu atau dua pemain negeri itu untuk membantu memperkuatkan cabaran The Red Warriors mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia dimenangi, musim lalu.
Tanpa mahu menyebut nama pemain dua negeri berkenaan, pengurus pasukan, Azman Ibrahim mengakui Kelantan berminat meminjam pemain negeri itu bagi memantapkan posisi serangannya, terutama untuk bergandingan dengan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.
“Kami sedang berunding dengan Pahang dan Perlis untuk mendapatkan pinjaman bagi pemain negeri itu dan proses perundingan sedang berjalan sekarang.
“Kempen Piala Malaysia amat penting bagi Kelantan mempertahankan gelaran juara yang kita menangi musim lalu,” katanya di Kota Bharu, semalam.
Beliau berkata, barisan pemain Kelantan akan memulakan sesi latihan selepas solat tarawih bermula 4 Ogos ini bagi persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia, September ini.
Katanya, buat masa ini, pemain Kelantan masih bercuti rehat selama seminggu dan latihan yang bermula 4 Ogos ini membabitkan semua pemain kecuali penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain muda, Mohd Izuan Solahuddin yang bersama skuad Olimpik negara di Slovakia.
No comments:
Post a Comment