Thursday, August 25, 2011
Pemain Singa Utara minta PFA bayar tunggakan gaji
“KAMI kini berdepan pelbagai kesukaran khususnya kewangan untuk perbelanjaan harian sepanjang Ramadan mahupun membuat persiapan menyambut Aidilfitri selepas tidak menerima bayaran gaji untuk Jun dan Julai.
“Justeru, kami amat berharap agar pengurusan pasukan dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dapat menyegerakan bayaran tunggakan gaji kerana ia cukup penting bagi memastikan kami tidak terus dibelenggu masalah,” kata salah seorang pemain skuad Singa Utara yang enggan namanya didedahkan.
Difahamkan, ada pemain dan pegawai pasukan terbabit tidak dibayar sejak Mei lalu.
Mereka yang terbabit dikatakan sudah berusaha termasuk menghubungi pengurusan pasukan bagi mendapat penjelasan berhubung perkara itu, namun belum ada jawapan atau tanda-tanda masalah itu bakal diselesaikan.
Justeru, barisan pemain yang sebahagian besarnya tenaga muda manakala selebihnya sudah berkeluarga amat berharap pengurusan skuad Singa Utara dan PFA selaku majikan dapat mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu dalam tempoh terdekat.
Pemain terbabit berkata, walaupun Perlis gagal layak ke Piala Malaysia selepas menduduki tangga tercorot Liga Super, dia tidak menafikan amat bergantung kepada pembayaran gaji untuk perbelanjaan harian dan keluarga.
“Masalah kelewatan pembayaran gaji ini membebankan kami. Sungguhpun Perlis tidak lagi beraksi pada Piala Malaysia, kami masih anggota pasukan. Wajarlah jasa dan pengorbanan kami dihargai,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment