Wednesday, August 17, 2011

Nizaruddin dikerah ledak 20 jaringan


KUALA LUMPUR - Masa semakin mencemburui bekas penyerang negara, Nizaruddin Yusof untuk mencapai 20 gol, iaitu petunjuk utama prestasinya (KPI) sebagai penyerang Felda United dalam persaingan kemuncak bola sepak negara, Piala Malaysia mulai 6 September ini.

Sambil perlu membantu 'Si Peneroka' melepasi Kumpulan C Piala Malaysia terlebih dulu untuk mara ke suku akhir dalam penampilan sulung mereka, Nizaruddin tampak agak terdesak untuk membalas kepercayaan pengurusan pasukan dalam memburu baki KPI itu.

Cuma tujuh gol sepanjang Liga Super dan Piala FA musim ini menuntut pemain berusia 32 tahun itu menjaringkan purata dua gol atau lebih dalam setiap perlawanan kumpulan Piala Malaysia ke atas Kelantan, Johor FC dan Sarawak.

Kali terakhir Nizaruddin mewakili skuad negara adalah pada kejohanan Pestabola Merdeka 2008.

"Pengurusan beri 20 gol sebagai KPI dan selaku penyerang yang diberi tanggungjawab itu, saya perlu menjalankannya dalam Piala Malaysia selepas cuma menyumbat tujuh gol liga dan FA.

"Mungkin kudrat atau kepantasan sudah berkurangan tetapi saya kini banyak bergantung kepada pengalaman dan kerja sepasukan untuk memburu gol mengikut KPI oleh kelab," kata bekas pemain Kuala Lumpur, Selangor, MPPJ, Public Bank, UPB-MyTeam, Perlis, Polis dan KL PLUS ini.

Nizaruddin perlu terus berusaha menambat hati jurulatih E. Elavarasan dalam persaingan merebut tempat kesebelasan utama Felda United dengan Farderin Kadir, Zamri Chin dan Azrul Ahmad serta Amir Shahreen Mubin yang lebih muda daripadanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...