Saturday, August 13, 2011
Tidak mahu pulang
TAWARAN gaji lumayan yang diterima Mohd Safee Sali daripada salah sebuah pasukan bola sepak tempatan belum cukup memikat penyerang prolifik kebangsaan itu untuk kembali kembali semula ke tanah air.
Biarpun pasukan itu sanggup memenuhi sebarang tuntutan Safee namun dia yang kini masih mempunyai kontrak bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya FC belum berminat untuk berpatah balik dalam tempoh terdekat ini.
Pengurus Safee, Zakaria Rahim yang mengesahkan perkara itu berkata, tumpuan utama Safee kini adalah untuk mencari peluang beraksi ke peringkat lebih tinggi termasuk di Eropah.
“Sebenarnya Safee sekarang cuba dipikat salah satu pasukan di negara ini yang sanggup membayar gaji yang diminta Safee. Ini kerana mereka mahu membentuk pasukan yang mantap untuk beraksi di kejohanan antarabangsa.
“Bukan Safee tidak berminat tapi sekali dia sudah keluar (beraksi di luar negara), biarlah dia berjaya mencipta sesuatu dulu sebelum kembali semula bermain dalam liga tempatan. “Bagi saya, saya tidak mahu usaha Safee untuk mengembangkan karier di luar negara seperti hangat-hangat tahi ayam saja,” katanya yang enggan mendedahkan pasukan yang sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan Safee itu.
Menurut laporan sebelum ini, Safee yang merupakan penjaring terbanyak ketika Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu dikatakan menerima bayaran gaji kira-kira AS$10,000 (RM30,000) sebulan di Pelita Jaya.
Jika diambil kira pasukan yang bakal bermain di kejohanan antarabangsa iaitu Piala AFC musim depan hanyalah juara Liga Super, Kelantan dan juara Piala FA Terengganu.
Sementara itu Zakaria juga menafikan pemain itu menerima tawaran daripada kelab utama Bundesliga Jerman namun beliau tidak menolak usaha untuk membawa Safee ke Eropah sedang dilakukan.
“Setakat ini semua berita yang heboh diperkatakan di Internet termasuk mengaitkan Safee dengan kelab di Bundesliga seperti Stuttgart, Schalke 04 hanyalah khabar angin . Tapi memang ada usaha untuk membawa Safee bermain di Eropah, di Australia atau di Jepun suatu hari nanti.
“Sebelum ini juga sudah ada perbincangan dengan kelab di Goa, India serta Brisbane, Australia namun tidak mencapai sebarang kata putus. Apa yang diharapkan agar semua peminat berdoa supaya usaha Safee beraksi di peringkat lebih tinggi menjadi kenyataan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment