Thursday, August 18, 2011

Kim Swee bimbang


DI SEBALIK kegembiraan menyaksikan anak buahnya melakar kemenangan ke atas kelab Liga Satu Slovakia, MFK Dolny Kubin 2-0 kelmarin, jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee masih lagi dilanda kebimbangan.


Ini kerana beliau berpendapat, persiapan lebih sebulan di Vion, Slovakia masih belum cukup bagi mengharungi pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London 2012 terutama berdepan Jepun pada aksi pertama Kumpulan C bulan depan.


Apa yang diharapkan Kim Swee ketika ini adalah rancangannya untuk mengadakan satu lagi latihan pusat di Shanghai, China yang dijadual pada 9 September selama 11 hari sebelum berangkat ke Jepun tidak berdepan masalah.




“Saya merancang untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan kelab liga utama di China sepanjang berada di sana nanti tapi sehingga kini perkara ini masih belum pasti.


“Jika tidak ada perlawanan persahabatan sebelum menentang Jepun memang susah sikit untuk saya membuat persiapan. Macam sebelum ini pada pusingan kedua kelayakan, skuad Olimpik mengadakan perlawanan persahabatan di Qatar sebelum bertemu Lubnan. Saya harap pihak pengurusan (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dapat membantu,” katanya yang dihubungi Arena Metro di Slovakia semalam.


Menurut Kim Swee, beliau memilih Shanghai sebagai destinasi kedua latihan pusat apabila pulang ke tanah air dari Slovakia pada 28 Ogos ini atas faktor cuaca dan jarak perjalanan dari Shanghai ke Fukuoka, Jepun yang dekat.






Sementara itu, skuad Olimpik negara bangkit selepas aksi mengecewakan ketika tumpas kepada Budapest Honved FC 1-4 minggu lalu dengan merekod kemenangan ke atas Dolny Kubin menerusi jaringan pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit kesembilan dan penyerang Ahmad Hazwan Bakri (m-37).


Ini kemenangan keempat dalam lima perlawanan persahabatan sepanjang berada di Slovakia selepas menewaskan Bodva Moldava 1-0, Topvar Topolcany (2-1) dan Tatron Liptovsky Mikulas (2-1).



Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya tidak dibuai dengan kemenangan yang dicapai dalam siri perlawanan persahabatan di Slovakia kerana ia tidak akan bermakna jika gagal memberikan aksi terbaik pada pusingan kelayakan Olimpik.

“Sememangnya setiap kemenangan tidak kira dalam apa perlawanan sekalipun adalah satu kejayaan. Keputusan di sini tidak mustahak kerana apa yang penting prestasi di pusingan kelayakan nanti namun kemenangan yang diraih skuad Olimpik ini sekurang-kurangnya akan meningkatkan moral pemain,” katanya.


Selepas menjadi wakil tunggal dari Asia Tenggara ke saingan peringkat kumpulan kelayakan Olimpik London, Malaysia diundi bersama Jepun, Bahrain dan Syria dalam kumpulan C.


Malaysia memulakan kempen menentang Jepun di Stadium Tosu pada 21 September ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...