Friday, August 19, 2011

Ketumpulan penyudah Selangor ketara


Amri Yahyah diberi laluan berganding semula dengan Rudie Ramli di barisan depan.



KUALA LUMPUR - Rekod tanpa kalah Selangor dalam perlawanan persahabatan keempat pra musim Piala Malaysia 2011 dileburkan Kelantan 1-0 kelmarin dengan ketumpulan penyudah begitu ketara terpapar di Stadium Shah Alam.

Ia sekali gus melebarkan rekod pertemuan mereka yang menyebelahi pelawat sepanjang tahun ini selepas Selangor kalah 0-2 dan 0-1 dalam Liga Super dan disingkirkan pada separuh akhir Piala FA secara agregat 6-2 (kalah 5-1 dan 1-1).

Disaksikan kira-kira 3,000 penyokong setia kedua-dua pasukan dalam perlawanan bertiket RM5 itu, Merah Kuning hanya mampu menguasai babak kedua, namun segala eksperimen dan percaturan jurulatih K. Devan terus-menerus kurang berkesan.

Pemain pinjaman dari Pahang, Azamuddin Akil menyumbat gol tunggal perlawanan pada babak pertama yang jelas dikuasai Si Kijang bimbingan Datuk M. Karathu hasil gerakan satu dua dengan ketua pasukan Badri Radzi.

"Kami menguasai babak pertama dan perlawanan ini banyak menjelaskan di mana tahap kecergasan pemain malah membuka kesempatan saya mencuba beberapa pemain Piala Presiden dalam babak kedua," katanya.

Hanya dengan kemasukan pemain berkenaan, barulah tuan rumah yang kembali garang untuk melancarkan beberapa asakan dan percubaan ke gawang tetapi terus gagal memecahkan kebuntuan jaringan.

Bagi Selangor, ketumpulan penyudah banyak dipengaruhi pertukaran mendadak Fadzli Saari ke bahagian tengah oleh Devan bagi memberi laluan dan menguji semula gandingan Rudie Ramli dan Amri Yahyah dalam memburu gol dari barisan depan.

Malah, jurulatih Gergasi Merah itu dikatakan mulai berkira-kira untuk mengubah posisi tengah bekas pemain Kuala Lumpur, Azidan Sarudin sebagai penyerang memandangkan pemain simpanan, S. Sritharan belum meyakinkan untuk menyertai kesebelasan utama.

Sebelum ini, Selangor mengejutkan skuad kebangsaan dan cuma menewaskan pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia, Angkatan Tentera 1-0 sebelum sekadar seri tanpa jaringan dengan Felda United.

Anak buah Devan yang membentuk Kumpulan D Piala Malaysia mulai 6 September ini dengan T-Team, Kuala Lumpur dan Polis, bakal bertemu Sime Darby (Sabtu), Johor FC (Rabu) dan Negeri Sembilan (27 Ogos) dalam baki persahabatan pra musim.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...