Monday, August 22, 2011

Debaran Kim Swee


JURULATIH skuad bola sepak negara, Ong Kim Swee menanti penuh debar keputusan permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menunda perlawanan kedua Kumpulan C pusingan kelayakan Sukan Olimpik London menentang Syria 23 November ini, sehari selepas final bola sepak Sukan Sea Indonesia.

Difahamkan, FAM menerusi Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad sudah menghubungi rakan sejawatnya di Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Alex Soosay minggu lalu bagi memohon agar tarikh perlawanan kedua itu dapat ditunda ke tarikh lain.

Ini kerana, jika Malaysia berjaya mara ke final untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea, adalah sukar untuk skuad yang sama beraksi menentang Syria sehari selepas itu.


Malah mengikut peraturan badan induk bola sepak antarabangsa, Fifa setiap pasukan juga perlu berehat 48 jam selepas mengharungi perlawanan antarabangsa.

Kim Swee berkata, beliau berharap perlawanan dengan Syria dapat ditunda selepas perlawanan ketiga menentang Bahrain pada 27 November ataupun sekurang-kurangnya ditunda pada 24 November.

“Saya berharap perlawanan kedua itu dapat diadakan selepas perlawanan dengan Bahrain tapi kalau tidak ada pilihan lain, saya harap perlawanan dengan Syria itu dapat di lewatkan sedikit.

“Sudah tentu kita kena tunda salah satu perlawanan ini, kita tidak ada pilihan lain,” katanya yang dihubungi Arena Metro di Slovakia semalam.



Bagi AFC, pertukaran tarikh perlawanan tidak menjadi masalah sekiranya mendapat persetujuan kedua-dua pasukan. Ini dibuktikan apabila badan induk bola sepak Asia itu meluluskan pertukaran tarikh perlawanan Bahrain dan Jepun pada 23 November kepada 22 November.

Malaysia menjadi wakil tunggal Asia Tenggara beraksi di pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London selepas mengatasi halangan awal Pakistan dan Lubnan.


Skuad muda negara itu yang diundi dalam Kumpulan C akan berdepan pasukan pilihan Jepun dalam perlawanan pertama di Stadium Tosu pada 21 September sebelum menentang dua lagi lawan, Syria (23 November) dan Bahrain (27 November) di laman sendiri.

Pusingan kedua saingan peringkat kumpulan kemudian berlangsung tahun depan bermula dengan perlawanan dengan Bahrain (5 Februari), Jepun (22 Februari) dan Syria (14 Mac).

Ketika ini skuad Olimpik negara masih berada di Slovakia untuk mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan menentang FC Nitra esok dan FC Levice (26 Ogos) sebelum pulang ke tanah air pada 28 Ogos.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...