Thursday, August 4, 2011

Penyudah skuad Olimpik semakin berbisa


KUALA LUMPUR - Pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee mungkin boleh sedikit tersenyum lebar dengan tahap penyudah yang dipamerkan oleh barisan serangannya dalam tiga perlawanan persahabatan di Slovakia.

Lima gol yang tercipta sudah cukup menceritakan bahawa skuad Olimpik yang bertapa di Slovakia selama sebulan ini semakin menunjukkan perkembangan positif bagi menempuh gelora pusingan akhir kelayakan Olimpik yang dijadualkan berlangsung September depan.

Pada perlawanan yang terakhir, Selasa lepas skuad Olimpik berjaya membenam MFK Topvar Topolcany 2-1, kali ini hasil sumbangan penyerang Kuala Lumpur, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain tengah, Mohd. Irfan Fazail.

Sebelum itu, dalam perlawanan sulung, skuad Olimpik menang tipis 1-0 ke atas FK Bodva Moldova 1-0 hasil jaringan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan meneruskan rentak kemenangan 2-1 semasa pertemuan dengan MFK Topvar Topolcany, jaringan dicipta penyerang muda, Mohd. Ferris Danial dan Fandi Othman.

Biarpun begitu, Kim Swee berkata, dia hanya boleh membuat rumusan yang tepat terhadap barisan serangan selepas empat perlawanan persahabatan terakhir di Slovakia.

''Kita berjaya menjaringkan gol dalam setiap perlawanan, itu perkara yang membuatkan saya cukup gembira selepas tiga perlawanan dilalui di sini.

''Namun ia masih terlalu awal untuk menyatakan tahap penyudah pemain sudah berada di tahap menyakinkan cuma saya harapkan petanda positif ini akan berterusan," katanya yang dihubungi, semalam.

Tambahnya, apa yang mustahak, dia melihat tahap keyakinan pemain sudah menjangkau jauh jika mahu dibandingkan aksi mereka dalam dua musim terdahulu.

''Mereka semakin berani membuat keputusan dan tahap disiplin juga semakin baik dari setiap perlawanan.

''Cuma yang saya kurang berpuas hati sedikit, tahap konsentrasi pemain yang saya lihat tidak konsisten terutamanya sehingga 90 minit perlawanan pada perlawanan semalam.

''Gawang kita boleh bocor pada masa kecederaan ekoran pemain sudah hilang fokus, saya harap ia tidak berulang lagi selepas ini, mereka sepatutnya kekalkan konsentrasi jika tidak mahu lawan menghukum kita," katanya.

Skuad Olimpik bakal berdepan kelab Divisyen Satu Hungary, Budapest Honved FC pada 9 Ogos ini dan akan mendapat kembali sentuhan tujuh pemain yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya selepas tiba di Slovakia hari ini.

Mereka adalah ketua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli, K. Gurusamy, Izzaq Faris Ramlan dan Ahmad Fakri Saarani.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...