Thursday, August 11, 2011
Alex janji aksi cemerlang bantu Red Warriors
PEMAIN pinjaman pasukan Kelantan, Azamuddin Mohd Akil berjanji mempamerkan aksi cemerlang bagi membantu Red Warriors mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu selain memburu kejayaan peribadi dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula September ini.
Azamuddin atau lebih dikenali sebagai Alex berkata, dia berterima kasih kepada Kelantan kerana memilihnya untuk bergandingan bersama penyerang sensasi Red Warriors , Norshahrul Idlan Talaha malah berjanji akan bekerja keras untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama pemain.
“Setakat ini saya tiada masalah bersama pemain Kelantan dan akan memberi sepenuh tumpuan sepanjang menjalani latihan selain mahu meningkatkan stamina selepas berehat kira-kira sebulan sejurus tamat Liga Super bersama Pahang.
“Saya akan melakukan yang terbaik dan peluang dimiliki ini tidak akan dipersia-siakan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.
Azammuddin yang memulakan latihan bersama Red Warriors malam kelmarin kelihatan bersemangat malah cepat mendapat keserasian bersama barisan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu, namun mengakui masih memerlukan masa bagi mencari keserasian.
Sementara itu, pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim mengumumkan Kafa akan mengambil seorang lagi pemain dari Pahang, iaitu R Surendran bagi memantapkan Red Warriors.
Menurut Azman, pemain yang bermain di posisi penyerang itu akan melapor diri esok dan diharap kehadiran pemain berasal daripada Perak itu membantu menajamkan lagi jentera serangan Red Warriors.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment