“UNTUK menjadi juara, kita perlu sedia menghadapi semua pasukan, tidak kira siapa jua lawan kita,” tegas penyerang Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak mengenai jangkaan awal pasukannya bakal bertemu juara bertahan, Kelantan di pusingan suku akhir saingan Piala Malaysia, musim ini.
Zaquan Adha yang dibelenggu masalah kecederaan sepanjang musim ini, menjelaskan walaupun pasukannya mungkin bertemu Kelantan di suku akhir, namun dia tidak mahu rakan sepasukannya terlalu memikirkan kekuatan dimiliki skuad The Red Warriors.
“Negeri Sembilan masih pasukan kuat dalam saingan liga tempatan. Saya yakin kita mampu bangkit pada saingan musim ini kerana ramai pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini kembali cergas untuk beraksi.
“Saya percaya mereka (Kelantan) pasti ada ramuan mereka sendiri, jadi kita juga ada ramuan kita sendiri menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini. Apa yang penting, kita perlu menggunakan masa yang ada memantapkan pasukan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Membicarakan saingan Negeri Sembilan dalam Kumpulan B, Zaquan tetap berwaspada dengan kehadiran Terengganu dan dua pasukan Liga Perdana, Selangor PKNS serta Kuala Lumpur Sime Darby.
“Sime Darby mampu membuat kejutan begitu juga PKNS. Mereka tidak harus dipandang remeh,” katanya.
No comments:
Post a Comment