Saturday, December 17, 2011

Pafa sasar satu piala


Harian Metro

SATU piala musim ini! Begitulah sasaran yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) kepada ketua jurulatih, Norizan Bakar dalam kempen Liga M 2012, bermula bulan depan.


Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, Norizan serta pegawai pasukan Seladang sudah dimaklumkan mengenai sasaran itu. “Selepas lama tidak mencapai sebarang kejayaan, kami mahu satu gelaran musim ini. Pafa tidak tetapkan piala apa. Mereka (pasukan) tahu mengenai perkara itu,” katanya.

Musim lalu, Perak menamatkan cabaran Liga Super di tempat keenam, mara ke pusingan ketiga Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia.




“Kita anggap musim 2011 sebagai tempoh percubaan. Bagaimanapun musim ini Pafa mahu melihat hasil dan berharap skuad kendalian Norizan Bakar mampu memberi tuaian yang baik,” katanya.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri berkata usaha sudah dilakukan untuk mendapatkan khidmat pemain berwibawa termasuk dua awang import dari Serbia dan Slovakia bagi memantapkan pasukan.


Perak mengekalkan sebilangan besar pemain skuad musim lalu selain mengambil khidmat lima tenaga luar termasuk dua pemain yang dipinjam semasa Piala Malaysia, Mohd Failee Ghazali dan Mohd Rafiuddin Roddin.




“Bahannya sudah ada, kini terpulanglah kepada Norizan bagaimana mengadun menjadi adunan yang mantap.

“Saya yakin beliau tahu apa yang perlu dilakukannya setelah mengenal pasti kelemahan dan kepincangan musim lalu,”katanya.




Menurut Presiden Pafa itu, pasukan Seladang kini dalam proses persiapan intensif termasuk mengadakan perlawanan pemanas badan bagi menguji kemampuan pemain serta membentuk persefahaman mereka.

Sebagai sebahagian daripada program persiapan, Seladang akan bertandang ke Medan mulai Isnin ini untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan.





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...