Monday, December 19, 2011

Azraai belum putus kesebelasan utama


Harian Metro

SEKALIPUN sudah memulakan latihan sejak awal bulan lalu dan melengkapkan senarai 24 pemain, namun ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah belum lagi dapat mengenal pasti pemain skuad itu yang boleh disenaraikan dalam kesebelasan utama pada Liga M musim depan.

Menurutnya, masih banyak yang perlu dilakukannya dalam menilai prestasi pemain kerana rata-rata mereka masih dalam proses menyesuaikan diri terutama dalam memupuk gandingan mantap antara satu sama lain sedangkan memilih kesebelasan utama perlu dilihat secara menyeluruh.


“Sehingga ini, saya belum dapat menyenaraikan lagi pemain yang boleh diturunkan dalam kesebelasan utama kerana sebahagian pemain belum berada pada tahap prestasi memuaskan dan masih dalam proses membentuk keserasian.



“Malah banyak lagi yang perlu dipersiapkan termasuk berkaitan komunikasi antara pemain terutama membabitkan dua pemain import Jean Emmananuel Effa Owona dari Cameroon yang beraksi di posisi penyerang dan Marquen Nuquen Gocalves Ferreira dari Brazil di bahagian pertahanan,” katanya semalam.


Katanya, pihaknya tidak boleh terburu-buru untuk menyenaraikan pemain dalam kesebelasan utama kecuali selepas melihat dan meneliti keseluruhan prestasi yang mereka pamerkan sepanjang persiapan pramusim ini.



Namun pengendali berpengalaman itu yang mengemudi Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia musim lalu, yakin senarai lengkap kesebelasan utama pasukan akan dapat dikenal pasti sebaik mereka menamatkan program lawatan dan perlawanan persahabatan di Australia yang bermula hari ini hingga 25 Disember ini.



Mereka akan menentang Armasele FC (21 Disember) dan First Vienna FC (23 Disember) pada perlawanan persahabatan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...