Friday, December 30, 2011

FAS serius mahu Harimau Muda



KUALA LUMPUR - Kerisauan yang mengatakan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bersikap acuh tidak acuh dengan penyertaan skuad Harimau Muda dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) adalah tidak benar sama sekali, tegas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Bagi menjelaskan keadaan sebenar, Hamidin berkata, FAS ada menghantar undangan kepada FAM dan Harimau Muda A untuk datang dalam satu sesi taklimat ke republik itu pada 5 Januari depan.

''FAS akan membuat satu taklimat khas istimewa kepada rombongan kita mengenai saingan Liga-S pada bulan depan, saya rasa dalam 5 Januari.

''Beberapa pegawai (FAM) dan kemungkinan jurulatih, Ong Kim Swee akan hadir mendengar penerangan yang disampaikan oleh pegawai FAS.

''Ini membuktikan komitmen mereka untuk melihat skuad Harimau Muda bersaing dalam saingan Liga-S dan saya harap tiada lagi sebarang khabar angin mengatakan yang kami (FAM) sahaja memberikan layanan istimewa kepada Singapura, " katanya pada sidang media selepas mempengerusikan 
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), semalam.

Tambah Hamidin, Liga-S yang akan bermula pada pertengahan Februari depan turut mengambil kira jadual perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang dilalui oleh anak-anak buah Kim Swee.

''Mereka (FAS) sudah tahu mengenai komitmen skuad Harimau Muda dan mengambil kira semua perkara, jadi tiada sebarang masalah buat kami, " katanya.

Bagi Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, beliau berharap pihak di negara ini jangan terlalu memberikan tekanan kepada FAS kerana liga di sana hanya akan bermula Februari depan.

''Kelewatan jadual perlawanan itu adalah perkara biasa, seperti saingan Liga Malaysia, walaupun dijadual bermula 9 dan 10 Januari ini tetapi hanya penghujung bulan ini baru kami dapat aturkan, jadi beri FAS sedikit masa, " ujarnya.

Sementara itu, Hamidin memaklumkan Harimau Muda B tidak akan menyertai saingan Piala FA dan tempat mereka akan digantikan kelab dari Kemboja, Preach Khan Reach FC.

''Pasukan Harimau Muda B mendapat jemputan dua kejohanan iaitu di Singapura yang melibatkan tiga negara pada 17 hingga 21 Februari dan Piala Hassanal Bolkiah di Brunei dari 25 Februari hingga 3 Mac.

''FAM telah bersetuju menerima jemputan ini atas dasar kerjasama antara persatuan bola sepak serantau dan pendedahan kepada pemain-pemain muda kita.

''Ekoran komitmen penyertaan Harimau Muda B dalam dua kejohanan tersebut, FAM telah membuka penyertaan kepada kelab Kemboja dan mereka telah memberikan maklum balas positif untuk mengambil bahagian, " katanya.
Preach Khan dijadualkan akan berdepan Pulau Pinang pada 18 Februari pada pusingan pertama Piala FA dan akan menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah dalam aksi timbal balik.

Kelab ini berada di tempat ketiga dalam saingan Liga Kemboja dan merupakan juara Piala FA.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...