Friday, December 30, 2011

Penyu kena main petang


Harian Metro

LIMA pasukan Liga Super termasuk pasukan pilihan, Terengganu terpaksa beraksi di sebelah petang selepas gelanggang mereka, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah gagal memenuhi syarat kecerahan lampu limpah yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selain Terengganu, satu lagi wakil Pantai Timur itu, T-Team yang berkongsi stadium juga akan beraksi pada jam 4.45 petang serta Sabah (Stadium Likas), Kuala Lumpur dan Felda United (Stadium Hang Jebat).


Turut tidak melepasi syarat lampu limpah minimum 800 lux adalah Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Stadium Batu Kawan, Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan Stadium Hang Tuah Melaka.



Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyatakan stadium yang tidak mendapat kelulusan itu boleh membuat rayuan selepas ini.


“Pasukan terbabit masih boleh menghantar surat dalam tempoh tujuh hari untuk kami membuat pemeriksaan jika mereka sudah meningkatkan tahap kecerahan lampu limpah dan kemudian boleh bermain pada waktu malam,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasanya semalam.



Hamidin turut memaklumkan empat stadium akan ditutup sementara bagi tujuan baik pulih iaitu Stadium Shah Alam sehingga 1 April 2012, Stadium Darulmakmur (Julai atau Ogos), Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras (Mac atau April) dan Stadium Larkin (Mac atau April).



Dalam pada itu buat kali pertama, FAM memutuskan harga tiket lebih awal untuk musim depan membabitkan saingan domestik dan juga antarabangsa.


Bagi perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, FAM mengenakan tiket berharga RM40 manakala bagi perlawanan persahabatan dan kejohanan membabitkan skuad kebangsaan senior dan bawah 22 tahun berharga RM20 hingga RM50.






No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...